Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak Paul Yong bertanding di kerusi bapa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15 | Anak kepada penyandang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Paul Yong akan bertanding di kerusi bapanya sebagai calon Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Bryan Yong, 25, adalah antara dua calon yang diumumkan PBM untuk bertanding di kerusi DUN Perak hari ini.

Sin Chew Daily melaporkan Bryan Yong merupakan graduan undang-undang dari universiti East Anglia dan menerima arahan di saat-saat akhir untuk mempertahankan kerusi bapanya.

Bryan menyifatkan Paul sebagai mentor politik dan bimbingan daripada bapanya itu akan membantunya untuk berkhidmat kepada pengundi Tronoh.

Paul Yong merupakan Adun DAP selama tiga penggal dan menjadi exco kerajaan negeri antara 2018 dan 2020.

Bagaimanapun, karier politiknya terjejas pada 2019 selepas dia dituduh merogol pembantu rumah warga Indonesia.

Dia akhirnya didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan. Paul kini merayu keputusan itu.

Sementara itu, PBM turut mengumumkan akan meletakkan tujuh calon di kerusi parlimen.

Tujuh calon berkenaan ialah:

- Zuraida Kamaruddin (Ampang, penyandang)

- Santhara Kumar (Segamat, penyandang)

- Haniza Talha (Hulu Selangor)

- Daroyah Alwi (Kapar)

- Larry Sng (Julau, penyandang)

- Dayang Rusimah @ Raynie Bt Mohd Din (Labuan)

- Alus Kassim (Sekijang)