Skip to main
Logo Malaysiakini

Berdosa, buruk sangka - Halimah jawab soalan tanding bebas

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique hari ini berkata dia menerima keputusan BN yang menggugurkannya daripada bertanding pada pilihan raya umum (PRU15) akan datang.

Penyandang kerusi parlimen Kota Tinggi itu berkata dia akan turun berkempen untuk rakan-rakannya dalam Umno.

"Apa saja keputusan yang dibuat parti saya akur kerana saya orang parti," kata ketika ditemui pemberita pada satu majlis di Kuala Lumpur hari ini.

"Saya akan turun bantu kawan-kawan yang lain yang tanding atas tiket BN. (Senator) Datuk Zuraina Musa (yang hadir majlis sama) pun akan turun untuk bantu rakan-rakan yang diberi mandat untuk bertanding sebagai calon BN. Kami berdua hati besar," katanya.

Halimah juga ditanya jika dia akan berkempen untuk Naib Presiden Umno Khaled Nordin yang mengambil alih tempatnya di Kota Tinggi.

Untuk soalan itu, Halimah menjawab, "itu dia (Khaled) kena jalanlah, dia calon baru."

"Dia kena kenalkan diri dia dengan lebih rapat lagi dengan pengundi-pengundi dalam kawasan parlimen baru dia.

"Saya tak nak cerita dalam kawasan itu kerana kita dah tiada kaitan," jelasnya.

Gambar fail, Halimah ketika perbahasan parlimen.

Pun begitu, Halimah menegaskan dia tidak akan bertanding sebagai calon bebas pada PRU15 ini.

"Berdosa, buruk sangka," katanya menjelaskan dia tidak akan berbuat demikian.

Awal minggu ini, dilaporkan 40 ketua cawangan Umno Bahagian Kota Tinggi mahu Halimah terus bertanding di parlimen itu pada PRU15.

Halimah antara 14 penyandang kerusi parlimen yang digugurkan sebagai calon kali ini.

Antara veteran Umno yang digugurkan, termasuklah Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Shahidan Kassim (Arau), Annuar Musa (Ketereh), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Ismail Abdul Muttalib (Maran), Dr Adham Baba (Tenggara) and Noh Omar (Tanjong Karang).

Halimah berkhidmat sebagai ahli parlimen BN sejak 2008, selama dua penggal di Tenggara sebelum bertanding di Kota Tinggi pada 2018.

Dia merupakan menteri perpaduan negara di bawah kedua-dua pentadbiran perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

[Baca berita penuh]