Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon PKR Sg Buloh jelaskan kes penipuan dikaitkan dengannya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas PKR mengumumkan untuk meletakkan timbalan ketua penerangannya Ramanan Ramakrishnan untuk bertanding di Sungai Buloh, kes penipuan yang dikaitkan dengannya sebelum ini dibongkar.

Dia kemudian menjelaskan bahawa ia adalah kes sivil kerana "salah faham" beberapa tahun lalu, dan ia adalah urusan peribadi.

Pejabat Ramanan menghubungi Malaysiakini dan temu bual dijalankan petang semalam.

Ramanan menjelaskan bahawa kes penipuan yang dikaitkan dengannya didakwa berpunca daripada salah faham dalam perniagaan dan polis menyenaraikan kes itu sebagai "tiada tindakan lanjut" selepas menjalan siasatan.

Katanya, dia kemudian menangani kes sivil itu di mahkamah.

"Sebenarnya kes itu yang berlaku pada2014, jadi tak tahu kenapa diungkit balik sekarang. Mungkin pihak tertentu tak tahu borak perkara lain

"Sebenarnya kes ini kes sivil, bukan kes jenayah, kita kena faham itu dulu. Saya ingin tegaskan ini isu peribadi, ini adalah satu isu perniagaan antara dua individu," katanya.

Sifatkan BN sebagai “kaki fitnah”

Bekas bendahari MIC itu mendakwa seteru politiknya sengaja membangkitkan perkara itu untuk memfitnahnya menjelang pilihan raya.

"Bagi saya, saya tidak mahu bercakap tentang perjanjian (penyelesaian) sebab saya takut lagi-lagi dipusingkan.

"Jadi saya tidak mahu rumitkan perkara ini, saya rasa ia isu mudah, cuma BN ini kaki fitnah," katanya.

Ramanan mendakwa bahawa dia telah berurusan dalam banyak perniagaan, dan "salah faham perniagaan" seperti ini adalah perkara biasa yang wujud dalam industri usaha niaga.

“Tetapi izinkan saya memberitahu anda jumlah kes mahkamah kerana salah faham dalam usaha perniagaan ….. Terlalu banyak. Itulah sebabnya hari ini banyak peguam sangat kaya.

“(Ini adalah) salah faham perniagaan. Anda boleh melakukan carian ke atas individu paling terkemuka di negara ini, saya pasti anda akan melihat berapa banyak kes telah difailkan terhadap mereka atau syarikat mereka untuk isu seperti ini,” katanya.

Tidak didakwa

Apabila didesak mengenai dakwaan terlibat dengan penipuan, Ramanan bertanya semula: “Jika ia satu kes penipuan, bukankah pihak peguam negara yang menyiasat perkara ini selama dua tahun telah mendakwa saya atas penipuan sebelum membuat keputusan? (Tapi) saya tidak didakwa,” katanya.

Pemuda PKR Asheeq Ali yang hadir semasa temu bual itu mewakili peguam Ramanan. Peguam aktivis itu memberi jaminan bahawa anak guamnya tidak didakwa di bawah sebarang kesalahan jenayah.

Kata Asheeq, polis menyiasat kes itu dan menyenaraikannya sebagai "tiada tindakan lanjut".

"Saya fikir saya tidak akan duduk di sini jika dia didakwa atas sebarang kesalahan," katanya.

Asheeq berkata Ramanan menyelesaikan kes itu dengan plaintif di luar mahkamah dan mereka tidak boleh mengulas butirannya atas alasan kerahsiaan.

Pakar psikiatri mendakwa penipuan melalui surat palsu

Ramanan ialah bendahari agung MIC, neneknya ialah ahli pengasas MIC, Devaki Krishnan.

Seorang pakar psikiatri Mahadevan Mahalingam memfailkan saman terhadap Ramanan kerana didakwa memberi gambaran yang salah mengenai dirinya pada 19 Mei, 2010, menyebabkan dia memindahkan RM5.5 juta ke dalam akaun peribadi defendan.

Menurut laporan yang diterbitkan pada Januari 2014, Kementerian Pertahanan berhutang kepada Mahadevan sebanyak RM26.6 juta kerana menggunakan tanah miliknya sebagai padang latihan menembak dari 1968 hingga 1988.

Menurut laporan itu, Ramanan didakwa menunjukkan surat daripada Kementerian Pertahanan kepada lelaki berusia 81 tahun itu, dan berkata dia boleh mendapatkan semula hutangnya daripada Kementerian Pertahanan.

Ini menyebabkan Mahadevan membayar Ramanan RM5.5 juta untuk perkhidmatan itu, dan kemudian mengetahui bahawa surat itu palsu.

Pada 23 Januari 2014, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersetuju dengan permohonan Mahadevan dan memerintahkan Ramanan memulangkan RM5.5 juta kepada pakar psikiatri itu.

Menurut dokumen mahkamah bertarikh 6 Jun 2014, plaintif dan defendan bersetuju untuk mencapai penyelesaian, persetujuan dan jumlah pampasan adalah dirahsiakan dengan syarat kedua-dua pihak tidak membangkitkan kes dalam apa cara sekalipun.

Empat hari selepas keputusan Mahkamah Tinggi, Ramanan melepaskan jawatannya sebagai bendahari MIC.

Dia memberitahu Malaysiakini dalam temu bual itu bahawa tindakan peletakan jawatan menunjukkan dia berprinsip.

Persiapan perkahwinan

Ramanan menjelaskan, dia boleh membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu, tetapi dia memilih untuk membayar pampasan kepada plaintif bagi persiapan perkahwinannya.

"Tak sambung kes itu dan cari satu resolusi adalah sebab pada masa itu saya hendak bina rumah tangga, hendak kahwin, kerana itu saya selesaikan kes ini sebab duit itu tak sepenting kebahagian dan kegembiraan keluarga saya. Saya dinasihatkan oleh keluarga untuk selesaikan kes itu.

"Kalau kes itu bersambung, masalah ini masih tergantung… Bila kita orang India kahwin, biasa kita cakap (bincang), yang lelaki dan yang perempuan, kita akan cakap sejarah mereka. Kita akan tengok masa lalu, kita mahu permulaan baru yang bersih," katanya.

Kritik media sebagai tidak adil

Ramanan turut menyelar media kerana menyasarkan masa lalunya, tetapi menurutnya tidak menggunakan kriteria yang sama untuk meneliti calon BN Sungai Buloh Khairy Jamaluddin dan skandalnya sebelum ini.

Dia menggesa media dan pengundi melihat penglibatan Khairy sebelum ini dalam beberapa dakwaan rasuah, termasuk pembelian Khairy dalam bahagian ECM Libra Avenue.

Ramanan berkata dia akan menyentuh perkara itu dalam ceramah akan datang.

“Beberapa media telah membuat tumpuan yang sebut bagage saya sebagai calon, tetapi saya nak tanya balik kenapa media tak tanya isu bagage Khairy?

"Bagage Khairy berlambak, kalau kami tulis buku, saya rasa saya sudah tua baru boleh habis tulis bagage dia. Tapi Mungkin rakyat, media Dan pengundi mudah lupa," katanya.

Ramanan seterusnya menyifatkan Khairy menganggap dirinya terkenal di media sosial justeru dia boleh melakukan sesuka hati.

"Mungkin sebab sosial media boy ini boleh buat apa-apa dia suka, perompak duit rakyat pun tak kisahlah, tak apa lah, kitakan social media famous," sindirnya.