Skip to main
Logo Malaysiakini

Shamsul: Lawan Zahid 'jihad' demi rakyat M'sia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhadapan pertandingan empat penjuru di kerusi parlimen Bagan Datoh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.

Bertanding buat kali ketujuh di Bagan Datoh, Zahid yang mewakili BN ditentang calon PH Shamsul Iskandar Md Akin, calon PN Muhammad Faiz Na'aman dan calon bebas Tawfik Ismail.

Pengumuman calon yang layak bertanding itu dilakukan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen P075 Bagan Mohd Ghaoufron Hamzah pada 11 pagi di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh, sebentar tadi.

Zahid bertanding di kerusi Bagan Datoh sejak 1995, dan pada PRU14, dia mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 5,073 undi.

Terdahulu, Shamsul yang juga bekas ahli parlimen Hang Tuah Jaya selama dua penggal berkata dia teruja untuk mencabar Ahmad Zahid Hamidi, yang telah memegang kerusi itu selama enam penggal.

"Saya cukup bersemangat sebab saya tahu pengundi sudah bosan dengan penyandang Bagan Datuk.

"Ini jihad saya mewakili rakyat Malaysia," kata Shamsul.

Sementara itu, Faiz (gambar, bawah) mengucapkan terima kasih kepada pihak SPR dan polis kerana proses penamaan calon yang lancar.

"Perasaan saya sebagai calon muda dan calon yang baru saya merasakan, ini satu pengalaman untuk saya, dan memang berasa lega kerana semuanya berjalan lancar.

"Saya ucapkan terima kasih kepada SPR, anggota polis dan JPAM.

"Saya harap warga Bagan Datoh menyokonglah kami PN untuk membuat perubahan dengan lebih baik dan integriti," katanya.

Tawfik, calon berusia 71 tahun memperjelaskan sekali lagi matlamat utama dia bertanding di Bagan Datoh adalah untuk menghentikan Zahid menjadi perdana menteri.

"Saya tanding di sini kerana Zahid sedang menghadapi banyak kes rasuah dan dia cuba menjadi perdana menteri.

"Saya tidak akan membenarkan dia menjadi perdana menteri," katanya.

Tawfik bertanding menggunakan logo kunci berkata semoga ia menjadi lambang kunci kejayaan untuk negara yang lebih baik.

Terdahulu, lebih 600 penyokong daripada BN, PH dan PH dikumpul sekolah sejak 9 pagi.