Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno keluar kenyataan berkaitan pemecatan hari ini

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dua pemimpin Umno Shahidan Kassim dan Zahidi Zainul Abidin yang masing-masing bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) dan bebas bakal berdepan tindakan pemecatan.

Ini termasuk pencadang dan penyokong masing-masing.

"Bagi mereka yang digugurkan dan memilih untuk bertanding di bawah parti lain, mengikut perlembagaan parti, kita berhak memecat secara automatik.

"Ini juga terpakai kepada pencadang, penyokong bagi calon. Ini adalah norma kerana kita perlu mematuhi etika dan peraturan parti,” katanya.

Shahidan dan Zahidi

Dalam sidang media di kediamannya, Bagan Datuk, Perak hari ini, Zahid berkata dia telah mengarahkan setiausaha agung Umno untuk mengeluarkan kenyataan media pada hari ini.

Kenyataan itu, katanya akan menyatakan fasal tertentu dalam perlembagaan Umno bagi pemecatan itu dilakukan secara automatik.

Shahidan bertanding sebagai calon PN di Arau melawan calon BN Rozabil Abd Rahman, calon Pejuang Abdul Razak Abdul Khalek dan calon PH Fathin Amelina Fazlie.

Shahidan, 71, menjadi wakil rakyat di parlimen itu selama empat penggal sejak PRU 1986, 1990, 2013 dan 2018 dan ini kali kelima,bekas menteri besar itu akan mempertahankan kerusi berkenaan.

Sementara, Padang Besar, Zahidi akan ditentang empat calon lain termasuk Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan; Muhammad Saad @ Yahya (PH); Rusydan Rusmi (PN) dan Ko Chu Liang mewakili parti Warisan.

Ketua Umno bahagian Padang Besar itu akan turut bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi, juga atas tiket bebas.

Shahidan dan Zahidi adalah antara 10 pemimpin Umno yang digugurkan daripada mempertahankan kerusi parlimen masing-masing pada PRU kali ini.