Skip to main
Logo Malaysiakini

Nama Santhara tak akan ada di kertas undi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyandang kerusi parlimen Segamat Edmund Santhara Kumar tidak mempertahankan kerusinya.

Ia berlaku walaupun Parti Bangsa Malaysia (PBM) telah mengumumkan semalam akan meletakkan Santhara bertanding di situ namun namanya tidak muncul dalam senarai calon Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini.

Calon Pakatan Harapan bagi kerusi itu R Yuneswaran memberitahu Malaysiakini, Santhara tidak hadir di pusat penamaan calon.

Santhara enggan mengulas ketika dihubungi pemberita.

Tidak jelas apa yang membawa kepada perkembangan ini.

Santhara merampas Segamat daripada presiden MIC ketika itu S Subramaniam pada 2018 sebagai calon PKR.

Dia antara ahli parlimen PKR yang berpaling tadah semasa Langkah Sheraton dan seterusnya menyertai Bersatu sebagai ahli bersekutu.

Kemudian dia menyertai PBM - parti yang kebanyakannya terdiri daripada bekas ahli PKR - pada Oktober.

Santhara berulang kali menyatakan hasrat untuk mempertahankan Segamat, malah bahagian Bersatu tempatan turut melobi supaya PN meletakkan Santhara di kerusi itu semalam.

Walaupun begitu, hari ini Santhara dilaporkan berkata dia memilih untuk tidak bertanding dalam kerana mahu diberikan "tempoh bertenang" selain mahu pengundi membandingkan rekod perkhidmatannya dengan bakal ahli parlimen Segamat yang baru.

“Penyokong saya tahu tentang keputusan itu.

“Biar orang ramai yang menentukan. Tempoh bertenang juga penting,” katanya seperti dilaporkan The Malay Mail.