Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon PKR Sungai Buloh dakwa media 'tak adil' terhadapnya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Calon PKR Sungai Buloh R Ramanan menyuarakan rasa tidak puas hati kepada media yang menurutnya melayannya secara tidak adil kerana tidak memberikannya ruang untuk membuat kenyataan balas berkaitan laporan berkenaannya.

Namun wartawan memberitahu Ramanan yang mereka tidak dapat menghubunginya.

Namun dia kelihatan tidak senang dengan jawapan itu dan mendakwa wartawan berbohong.

"Bila media kata ada penukaran (calon Sungai Buloh), atau ada isu. Sedangkan watikah di tangan saya, tapi kenapa saya tak cakap apa-apa?

"Sebab banyak media tapi tiada seorang yang hubungi saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon hari ini.

Seorang wartawan kemudian berkata mereka tidak dapat hubunginya, manakala seorang wartawan dari Bernama berkata panggilan yang dibuatnya tidak dijawab.

Ramanan yang kelihatan kecewa kemudian membalas: "Ada telefon? Telefon nombor mana? Tak pernah (hubungi), itu tipu."

Dia juga berkata ada wartawan lain yang dapat menghubunginya ketika ingin mendapatkan kenyataannya.

Bekas setiausaha agung MIC itu kemudian berulang kali bertanya organisasi media wartawan itu, yang dijawabnya secara keberatan.

"Mana? Mana? Saya nak tahu kak dari mana.

"Sekejap, saya nak tahu dari mana. Bernama? Next," kata Ramanan.

Sementara itu, Ramanan menegaskan Sungai Buloh adalah kubu kuat PKR dan dia, dengan bantuan dua exco untuk berkempen, mempunyai peluang lebih cerah untuk menewaskan Khairy Jamaluddin.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini semalam, Ramanan turut menyalahkan media yang didakwa menyasarkan "beban" masa lalunya, tetapi tidak membuat perkara sama terhadap Khairy.

Dalam temu bual itu, Ramanan berkata saman sivil melibatkannya pada 2014 adalah kerana "salah faham perniagaan" dan tidak sepatutnya menjadi senjata seterunya.

[Baca berita asal]