Skip to main
Logo Malaysiakini

Rafizi: PH guna strategi ala Kpop pikat hati pengundi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seperti fenomena Kpop, Rafizi Ramli berjanji kepada pengundi bahawa PH akan bergantung kepada strategi kempen untuk memikat hati dan jiwa pengundi.

Timbalan presiden PKR itu berkata gabungan pembangkang tidak akan bergantung kepada strategi sebelum ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk membawa tumpuan pengundi terhadap skandal 1MDB.

Rafizi berkata, pengundi pada masa kini lebih sophisticated (canggih) kerana memahami terdapat kaitan isu kenaikan kos sara hidup seperti harga barang yang tinggi dengan isu rasuah serta kecekapan pentadbiran kerajaan.

Jelasnya, pengundi kini sangat mengetahui isu rasuah dan mereka ingin tahu apa yang akan dilakukan oleh calon dan parti politik mengenainya.

Kata Rafizi, inilah sebabnya PH meletakkan calon yang berkeupayaan dalam tadbir urus dan memiliki pemikiran “di luar kotak” untuk generasi baru digital.

"Seperti Kpop, apakah kandungan terbaik yang menarik secara emosi terhadap logik dan perasaan orang ramai untuk meyakinkan mereka supaya mengundi Pakatan Harapan," kata Rafizi.

Dia berkata demikian pada sidang media di pusat khidmat PKR di kawasan parlimen Pandan di Selangor hari ini.

Sementara itu, Rafizi mendedahkan kajian yang dijalankan PH menunjukkan gabungan itu mampu menang antara 80 dan 90 kerusi parlimen setakat ini.

Dia berkata, sentimen di lapangan ini sama dengan sentimen terhadap Pakatan Rakyat ketika tempoh dua minggu sebelum PRU14 pada 2018.

Kata Rafizi, cukup penting dalam tempoh dua minggu kempen PRU15 ini untuk menyakinkan pengundi atas pagar yang berbelah bagi hatinya dengan PN supaya teguh menyokong PH.

Gabungan Pakatan Rakyat pada PRU14 berjaya memenangi majoriti mudah pada PRU14 kerana dapat meyakinkan pengundi atas pagar - yang pada awalnya cenderung kepada PAS - untuk mengundi gabungan itu.

Dia berkata kajian di lapangan menunjukkan PH berpeluang meraih majoriti mudah bagi PRU15 jika kempen berjaya meyakinkan penyokong atas pagar sekarang.

“Sekiranya PH berjaya menyakinkan pengundi atas pagar ini (yang berbelah bagi antara PH dan PN), maka mungkin terdapat pertambahan undi ke arah Pakatan Harapan untuk membolehkannya memenangi lebih 90 kerusi parlimen.

"Jika itu berlaku, ia akan menjadikan PH blok terbesar di Semenanjung Malaysia," katanya sambil menambah bahawa kerajaan yang stabil kemudian boleh dibentuk dengan parti politik dari Sabah dan Sarawak.

Rafizi bagaimanapun menegaskan PH tidak akan mengambil mudah tempoh berkempen sepanjang dua minggu akan datang dan akan bekerja keras untuk memastikan tidak terputus daripada sentimen pengundi di lapangan.