Skip to main
Logo Malaysiakini

Timbalan pengerusi Bersatu K'tan tanding bebas di Bachok

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Salah seorang daripada lima calon yang berentap untuk kerusi Parlimen Bachok adalah Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan Mohd Zulkifli Zakaria yang bertanding bebas.

Ditanya berkenaan tindakannya itu, Mohd Zulkifli (gambar utama, paling kiri) berkata ia bukan kerana tidak puas hati terhadap kepimpinan PN yang tidak mencalonkannya, tetapi kerana ingin Bachok diwakili orang tempatan.

"Saya nak Bachok terbela, banyak calon dari luar (Bachok) datang, dalam tempoh lima tahun nasib rakyat Bachok tak terbela.

"Walaupun ada calon anak Bachok, tapi tak bermastautin di sini. Akhirnya wakil rakyat entah ke mana dan nasib rakyat Bachok tak terbela," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia akan berdepan Mohd Zain Yassim (BN), Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman (PN), Nor Azmiza Mamat (PH) dan Kamarul Azam Othman (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, Putra).

Yakin akan mendapat sokongan pengundi, Mohd Zulkifli berkata dia tidak kisah jika dikenakan tindakan oleh Bersatu atas tindakannya itu.

Saya tak kisah hilang jawatan dalam parti, yang penting rakyat saya terbela," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersatu Kelantan Kamarudin Md Nor berkata jawatan Mohd Zulkifli gugur secara automatik selepas bertanding sebagai calon bebas.

"Keputusan dia buat bersendirian. Semua jawatan dia dalam parti telah gugur secara automatik," katanya kepada Malaysiakini.

Pada PRU lalu, kerusi Parlimen Bachok dimenangi Mohd Nik Abduh Nik Aziz dengan majoriti 3,292 undi. Ketika itu, dia menewaskan Awang Adek Hussin dari BN dan calon Mohd Zulkifli Zakaria dari PKR.