Tujuh penjuru di Klang sebab saya tak tanding - Charles
Charles Santiago berpendapat pertembungan tujuh penjuru di parlimen Klang kerana dia tidak lagi mempertahankan kerusi yang disandangnya selama tiga penggal itu.
Charles menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dengan majoriti 78,773 undi.
Pemimpin DAP itu mendakwa bahawa sumber yang boleh dipercayai dalam agensi kerajaan yang memantau pilihan raya telah mengesahkan dia akan memenangi kerusi itu dengan majoriti 100,000 undi.
“Saya dimaklumkan bahawa saya akan menang dengan undi majoriti 100k.
"Tetapi sekarang kemungkinannya telah menurun kepada 50-50," katanya kepada Malaysiakini baru-baru ini.
DAP memilih Adun Kota Kemuning V Ganabatirau untuk bertanding di parlimen Klang pada PRU15 walaupun terdapat usaha pengundi dan akar umbi mendesak Charles terus menjadi calon di situ.
Enggan mengulas lanjut mengenai pencalonan Ganabatirau, Charles bagaimanapun berkata pertembungan berbagai penjuru di kerusi itu menjadi "isu" untuk DAP.
Namun, kata Charles, dia lebih bingung dengan rayuan Ganabatirau di media untuk sokongannya berkempen pada PRU15.
“Sangat pelik untuk Ganabatirau melalui media meminta saya untuk berkempen untuknya.
“Dia boleh bertanya kepada saya secara peribadi. Ia seolah-olah membayangkan bahawa dia memerlukan sokongan saya untuk menang memandangkan tindak balas yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang dapat kita lihat,” kata Charles.
Bagaimanapun, sebaik sahaja Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo mengesahkan pencalonan Ganapathy, Charles menggesa penyokongnya supaya menyokong calon pilihan parti itu.
Mengenai dakwaan Ganabatirau kerja-kerjanya sebagai Adun di bawah parlimen Klang sebelum ini akan memberinya pengaruh di lapangan, Charles berkata keputusan pilihan raya sukar untuk diramal.
Ucap selamat
“Beliau (Ganabatirau) juga percaya orang ramai akan mengundi simbol parti kerana terdapat keghairahan umum untuk menolak Umno.
“Pada pendapat saya, amat sukar untuk membaca sentimen setempat kerana orang ramai menyimpan pilihan undi mereka di dada mereka.
“Tetapi saya ucapkan selamat kepada Ganabatirau dan sekali lagi, menyeru rakyat mengundi Pakatan Harapan,” kata Charles.
Jelasnya lagi, di peringkat nasional memang pengundi dihadapkan pilihan antara tiga gabungan besar, PH, PN atau BN.
“Namun, di lapangan, Klang mempunyai masalah yang sangat khusus yang perlu ditangani seperti banjir pantai dan peningkatan paras laut yang mengancam untuk menenggelami pinggir sungai dan pesisir pantai secara kekal.
“Oleh kerana glasier yang runtuh di Antartika baru-baru ini, unjuran paras laut akan naik dalam masa 50 tahun lagi telah menjadi lebih singkat ke 30 tahun.
“Jadi, rancangan untuk bandar itu perlu dibentangkan sekarang kerana pelaksanaan itu sendiri boleh mengambil masa lima hingga 10 tahun,” nasihatnya.
Calon-calon yang merebut kerusi parlimen Klang:
V Ganabatirau (Pakatan Harapan)
Dr Jaya Chandran Prumal (Perikatan Nasional)
Hedrhin Ramli @ Awin (Bebas)
Tee Hooi Ling (BN)
Dr Loo Cheng Wee (Warisan)
Chandrasegar (Parti Rakyat Malaysia)
Deepak Jaikishan (Bebas)
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai