Skip to main
Logo Malaysiakini

'Skim insurans percuma Selangor boleh diperluas jika PH menang'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan (PH) menyorot program kebajikan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor dalam kempennya untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ahli politik dari gabungan itu berkata bahawa program seperti skim insurans kemalangan percuma Insan Selangor boleh dilanjutkan ke seluruh negara jika gabungan itu memenangi PRU pada 19 Nov ini.

Bercakap pada majlis makan malam kutipan dana DAP di Klang malam tadi, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata skim itu telah menerima 52,000 pendaftar dalam tempoh dua bulan sejak ia dilancarkan.

Skim itu memberi perlindungan sehingga RM10,000 setiap orang yang tinggal dan mengundi di Selangor berumur dari 11 bulan hingga 80 tahun.

Dia juga menegaskan bahawa perlindungan insurans ini, yang dikeluarkan oleh sebuah negeri untuk rakyatnya, adalah yang pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara.

Dilancarkan pada bulan September, mereka yang berjaya mendaftar akan dilindungi oleh kerajaan negeri untuk kes hilang upaya kekal atau kematian akibat kemalangan.

“Tujuh juta rakyat Selangor akan dilindungi sehingga RM10,000 setiap seorang, bagi kematian atau hilang upaya kekal akibat kemalangan.

"Setahu saya, daripada perbualan saya dengan pemimpin di negara lain, kita adalah satu-satunya di rantau ini yang menyediakan perlindungan percuma ini untuk rakyatnya," kata Amirudin.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari

Sementara itu, Exco Pelaburan dan Perdagangan Selangor Teng Chang Khim berkata skim insurans itu hanya satu daripada 44 skim dan program kebajikan yang dilaksanakan sejak ia mengambil alih kerajaan negeri 14 tahun lalu.

“Pelbagai program kebajikan adalah contoh apa yang PH boleh bawa kepada negara,” katanya.

Kira-kira 1,000 penyokong PH menghadiri majlis makan malam di Dewan Persatuan Hokkien di Klang yang menyaksikan beberapa calon PRU hadir termasuk calon Kota Raja Mohamad Sabu, calon Klang V Ganabatirau, calon Damansara Gobind Singh Deo, dan calon Titiwangsa Khalid Samad.

Masing-masing naik ke pentas dengan menyampaikan mesej ringkas tentang betapa pentingnya PH menang PRU untuk mengelak negara diambil alih oleh pemimpin politik kleptokrasi.

Gobind memberi amaran bahawa rancangan BN adalah untuk menjadikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai perdana menteri dan meminta pengundi.

Calon parlimen PH bagi kerusi Damansara Gobind Singh Deo

“Kita semua rakyat Malaysia. Ini negara kita dan kita mesti bela negara kita. Dan apabila tiba masa pilihan raya kita mesti keluar dan mengundi,” katanya.

Dia mengingatkan pengunjung bahawa undi mereka bukan untuk sokongan hanya seorang calon tetapi ke arah matlamat menukar kerajaan.