Jika banjir besar, PM akan bincang SPR alternatif lain
Perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan sekiranya berlaku banjir besar maka perjalanan proses pilihan raya tertakluk sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Jika berlaku banjir besar yang sehingga orang tak boleh keluar (mengundi), maka saya akan bincang dengan SPR kalau ada alternatif lain.
"Kita juga akan berbincang dengan MetMalaysia (Jabatan Metrologi Malaysia), serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana, dan SPR pun boleh beri pandangan,” katanya, lapor Bernama.
Pada 4 Nov lepas, MetMalaysia memaklumkan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh akan bermula 7 Nov ini dan berterusan sehingga Mac 2023 yang boleh mengakibatkan berlaku banjir bagi kawasan rendah dan berdekatan sungai.
Selain itu, jabatan kaji cuaca itu turut meramalkan fenomena air pasang besar berlaku dalam beberapa tempoh antara November ini hingga Januari depan.
Sebelum pembubaran Parlimen pada 10 Okt lepas, Ismail Sabri berkata kerajaan telah membuat segala persediaan rapi bagi menghadapi bencana banjir besar termasuk mesyuarat bersama dengan menteri besar dan ketua menteri.
Menurut perdana menteri, Yang di-Pertuan Agong juga telah menitahkan agar PRU15 diadakan sebelum musim tengkujuh ini.
Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin pada 10 Oktober berkata Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar SPR menjalankan PRU15 dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November 2022.
"Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir," katanya.
Ini menjawab gesaan ramai pihak yang membangkitkan kebimbangan terhadap risiko banjir yang dihadapi pengundi, termasuklah tindakan undang-undang yang difailkan bekas ahli parlimen Klang Charles Santiago.
Pihak berkepentingan juga berulang kali menyoal SPR mengenai kaedah mengendalikan pengundian jika negara berhadapan musibah bencana alam itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai