Skip to main
Logo Malaysiakini

Yeo bidas C4, nafi dakwaan konflik kepentingan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15 | Yeo Bee Yin membidas Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) berhubung kenyataan yang mendakwa berlaku 'konflik kepentingan' membabitkan pencalonannya di kerusi itu.

Calon DAP itu yang juga bekas menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ketika kerajaan PH berkata, kawasan pembangunan yang disebut dalam kenyataan C4 adalah tidak tepat.

"Biar fakta yang menjelaskan. Kawasan Puchong meliputi DUN Seri Kembangan dan DUN Sri Serdang. Ada pun yang disebut oleh C4 adalah di bawah DUN Kinrara, iaitu di bawah kawasan Subang.

"Di Malaysia, nama kawasan pilihan raya dan kawasan yang diliputinya kadangkala tidak sama. Sebuah NGO, yang bercita-cita untuk membangkitkan isu rasuah di arena antarabangsa harus melakukan usaha wajar yang sewajarnya, supaya tidak merosakkan kredibilitinya sendiri," jawabnya menerusi Whatsapp.

Perkara itu turut disuarakan oleh Adun Kinrara Ng Sze Han - yang melabelkan kenyataan kumpulan itu sebagai tidak tepat.

"Berkenaan kenyataan media C4 hari ini, 6 Nov 2022, bertajuk 'PRU15: Pencalonan Yeo Bee Yin di Puchong merupakan kebimbangan yang serius kerana konflik kepentingan', harap maklum bahawa kebanyakan hartanah atau lokasi yang disebut dalam kenyataan itu terletak di (DUN) Kinrara, sebuah kerusi DUN di bawah Parlimen Subang," kata Ng.

Adun Kinrara itu memberikan contoh Bandar Puteri Puchong, Puchong Jaya, IOI Boulevard Puchong, Sheraton Puchong dan IOI Mall Puchong terletak di parlimen Subang.

“Sementara itu, Sierra 16 dan IOI City Mall berada di Parlimen Sepang.

"Oleh itu, tiada satu pun pembangunan IOI Property wujud di kawasan Parlimen Puchong sehingga kini. Oleh itu kenyataan C4 adalah tidak tepat," kata Ng dalam satu kenyataan.

Kenyataan C4

Terdahulu, C4 dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya bimbang dengan pencalonan beberapa ahli politik yang bertanding pada PRU15 dan hubungan mereka dengan perniagaan di kawasan yang mereka tandingi.

Susulan penerbitan laporan Pusat C4, Perniagaan dalam Politik: Meneliti Kawalan Sistem Politik Malaysia pada Rabu (2 November 2022), ia mengulangi kebimbangan terhadap calon PRU15 yang mempunyai hubungan perniagaan dan menggesa parti politik mengkaji semula calon mereka secara menyeluruh.

C4 menyebut Yeo Bee Yin yang dicalonkan di Puchong, adalah isteri kepada ketua pegawai eksekutif IOI Properties Group Bhd, Lee Yeow Seng, anak kepada pengasas IOI Group Berhad, mendiang Lee Shin Cheng.

"Kewajaran ahli politik yang aktif yang berkahwin dengan ahli perniagaan yang berkuasa dan hubungan perniagaan-politik, yang ditunjukkan, pencalonan Yeo di kerusi Parlimen di kawasan di mana keluarga mentuanya mempunyai kepentingan perniagaan yang luas menunjukkan kebimbangan mengenai potensi konflik kepentingan,” kataya.

Selanjutnya, C4 berkata, pencalonan Yeo untuk bertanding di kerusi Puchong menyerlahkan 'titik buta' parti-parti politik.

“Paling teruk, hubungan sebegitu berpotensi menjadi leverage untuk tujuan pembiayaan politik jika kita masih gagal untuk mengambil iktibar dan pedoman pada masa lalu.

"Selaras Akta Pembiayaan Politik atau dasar mengenai pengisytiharan aset, parti politik mesti sentiasa berwaspada dalam memastikan keadaan yang menimbulkan perluasan hubungan perniagaan-politik adalah terhad sebanyak mungkin, terutamanya jika parti itu berkempen mengenai agenda anti-rasuah dan perubahan," kata C4.

Kumpulan itu dalam kenyataannya hari ini berkata, trend perniagaan dalam politik yang semakin meningkat - dan begitu juga sebaliknya - menimbulkan 'nepotisme, kronisme, politik naungan dan pengaruh perniagaan yang tidak wajar terhadap pembuat dasar'.

Malaysiakini telah menghubungi C4 untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu tersebut.