Skip to main
Logo Malaysiakini

COP27: Siapa patut bayar ganti rugi bencana iklim

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL | Hampir 200 negara berhimpun untuk persidangan iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Mesir dijangka akan membincangkan sama ada negara kaya perlu membayar pampasan atau tidak, kepada negara yang terdedah dilanda bencana akibat perubahan iklim.

Sidang kemuncak COP27 di Mesir menyusuli malapetaka cuaca ekstrem tahun ini, daripada banjir yang mengorbankan lebih 1,700 orang di Pakistan hingga kemarau yang memusnahkan tanaman di China, Afrika dan AS Barat.

Bencana berpunca kegiatan pelepasan karbon manusia yang mengubah iklim telah meningkatkan desakan negara membangun untuk dana khas "kerugian dan kerosakan".

Namun, negara-negara kaya telah menolak seruan sedemikian menyebabkan isu itu seakan terbantut selama bertahun-tahun.

Apa itu "kerugian dan kerosakan"?

Dalam perbincangan iklim PBB, frasa "kerugian dan kerosakan" merujuk kepada kos yang ditanggung akibat cuaca ekstrem atau impak yang didorong oleh perubahan iklim, seperti kenaikan paras laut.

Pembiayaan krisis iklim setakat ini memberi tumpuan kepada mengurangkan pelepasan karbon dioksida dalam usaha untuk membendung perubahan iklim, manakala kira-kira satu pertiga daripadanya telah diperuntukkan untuk projek membantu masyarakat menyesuaikan diri dengan kesan cuaca ekstrem pada masa depan.

Bagaimanapun, pembiayaan kerugian dan kerosakan berbeza dari segi memberi pampasan terhadap kos yang tidak dapat dielakkan atau dapat "disesuaikan" oleh negara.

Tetapi belum ada persetujuan lagi mengenai apa yang harus dikira sebagai "kerugian dan kerosakan" dalam bencana iklim - yang boleh termasuk infrastruktur dan harta benda yang rosak, serta ekosistem semula jadi atau aset budaya yang lebih sukar dinilai seperti tanah perkuburan.

Laporan terbit pada Jun oleh 55 negara yang terdedah dengan bencana perubahan iklim menganggarkan nilai kerugian berkaitan iklim mereka sepanjang dua dekad yang lalu berjumlah kira-kira AS$525 bilion, atau kira-kira 20 peratus daripada KDNK keseluruhan negara berkenaan.

Beberapa kajian mencadangkan bahawa menjelang 2030 kerugian tersebut boleh mencapai AS$580 bilion setahun.

Siapa kena bayar, siapa pula dibayar?

Soalan-soalan ini sangat dipertikaikan. Negara yang terdedah dengan bencana iklim dan jurukempennya berhujah bahawa negara kaya yang menyebabkan sebahagian besar perubahan iklim dengan sejarah pelepasan karbon mereka merupakan pihak yang perlu membayar.

Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) telah menentang hujah itu, bimbang tanggungan kos yang semakin meningkat.

Jika negara bersetuju untuk melancarkan dana itu, mereka perlu mengeluarkan butiran seperti dari mana wang itu harus datang, berapa banyak negara kaya perlu bayar dan negara atau bencana mana yang layak mendapat pampasan.

EU dan Amerika Syarikat telah menyekat cadangan untuk menubuhkan tabung dana berkenaan pada rundingan iklim PBB tahun lalu , sebaliknya bersetuju dengan "dialog" tanpa matlamat akhir yang jelas.

Sepanjang bulan lalu, mereka telah menunjukkan lebih banyak keterbukaan untuk membincangkan soal pampasan pada COP27, tetapi tetap berhati-hati untuk mewujudkan dana pampasan itu.

Hanya beberapa kerajaan telah membuat komitmen pembiayaan yang kecil dan simbolik untuk kerugian dan kerosakan: Denmark dan Scotland, serta wilayah Belgium di Wallonia.

Beberapa institusi kewangan PBB dan bank pembangunan sedia ada telah membantu negara yang menghadapi kerugian dan kerosakan, walaupun badan ini tidak diperuntukkan secara rasmi untuk matlamat tersebut.

Apa jangkaan pada sidang COP27 di Mesir?

Negara-negara membangun telah mencadangkan untuk meletakkan kerugian dan kerosakan dalam agenda sidang kemuncak alam sekitar ini, yang mesti diterima pakai sebulat suara sebelum rundingan dijalankan.

Kecewa dengan kesukaran dan kelewatan dalam mendapatkan bantuan kewangan bencana iklim, negara ekonomi membangun dan sedang membangun kini bersatu dalam menuntut penubuhan tabung dana kerugian dan kerosakan pada sidang COP27.

Antaranya, negara kepulauan seperti Maldives dan Jamaica, serta China (yang juga pelepas CO2 terbesar dunia).

Beberapa pegawai Eropah mengatakan China sepatutnya menyediakan bantuan kewangan bencana iklim, bukan menuntutnya.

Banyak negara telah membuat cadangan yang berbeza tentang rupa bentuk dana itu.

Meskipun sidang COP27 nanti dapat menghasilkan perjanjian penubuhan tabung berkenaan ia masih boleh mengambil masa beberapa tahun sebelum sedia untuk mengeluarkan wang tersebut.

Beberapa diplomat telah mencadangkan penganjuran gabungan sumber pembiayaan, bukannya satu dana terpusat.

Satu lagi cadangan daripada Perikatan Negara-Negara Kepulauan Kecil yang mencadangkan COP27 supaya bersetuju membentuk "dana tindak balas" yang dihoskan oleh PBB untuk mengumpul wang tunai daripada pelbagai sumber bagi negara yang dilanda bencana.

EU telah mencadangkan untuk memanfaatkan dana antarabangsa sedia ada dalam membiayai pampasan kerugian dan kerosakan, dan bukannya melancarkan tabung baru.

Namun, sesetengah pakar berkata isu seperti kelewatan yang memakan masa lama menjadikan dana tersebut tidak sesuai untuk menangani kerugian dan kerosakan.

Bagaimana jika COP27 gagal tangani isu ini?

Selepas negara kaya gagal melaksanakan ikrar menyumbang AS$100 bilion dalam pembiayaan iklim setiap tahun menjelang 2020, beberapa negara sedang meneroka laluan lain.

Kumpulan "V20" terdiri dari 58 negara yang terdedah dengan bencana akibat perubahan iklim dan Kumpulan Tujuh Negara Kaya (G7) merancang melancarkan inisiatif yang dipanggil "Perisai Global" di COP27, bertujuan untuk mengukuhkan pembiayaan kewangan dan insurans perlindungan bencana.

Sementara itu, negara yang terdedah kepada bencana iklim sedang mencari sumbangan untuk kemudahan perintis bagi pembiayaan kerugian dan kerosakan.

Idea-idea lain termasuk gesaan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres supaya cukai keuntungan 'durian runtuh' dikenakan ke atas syarikat bahan api fosil untuk mengumpul dana berkenaan.

Negara kepulauan Pasifik Vanuatu pula telah memohon mahkamah tertinggi dunia - Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mengeluarkan perintah mengenai hak negara itu supaya dilindungi daripada kesan buruk perubahan iklim akibat pelepasan karbon hasil kegiatan manusia.

Pendapat ICJ ini jika berjaya diharapkan boleh membawa kuasa moral dan pengaruh perundangan, mengukuhkan tuntutan supaya negara kaya memberi pampasan kepada negara miskin.

Laporan oleh Kate Abnett; Penyuntingan oleh Katy Daigle dan Deepa Babington

- Reuters