PKR gempur kubu Zahid, lebih 200 hadiri ceramah Izzah
PRU15 l Jika jumlah kehadiran orang ramai pada sesuatu majlis menunjukkan populariti sesebuah parti, maka Umno mempunyai alasan untuk difikirkan.
Pada ceramah anjuran Pakatan Harapan (PH) di Arena Bagan Pasir, Bagan Datuk pada hari kedua kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), malam tadi, lebih 200 orang yang hadir.
Jumlah kehadiran itu jauh lebih tinggi berbanding jumlah pada ceramah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada hari pertama kempen PRU yang diadakan di lokasi yang sama.
Berucap di hadapan sebahagian besar pengundi tempatan, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar meminta pengundi di Bagan Datuk supaya memberi kemenangan kepada calon PH di kawasan parlimen itu Shamsul Iskandar Md Akin pada hari mengundi 19 Nov ini.
"Saya mengharapkan saudara Sham, terkenal sebagai 'giant killer', kali ini mampu menjadi giant killer 2.0 di parlimen Bagan Datuk ini.
"Harap pada 19 Nov ini kita ada ahli parlimen baru bagi Bagan Datuk," katanya.
Turut hadir, calon PH bagi kerusi DUN Rungkup Munzirie Kabir dan calon PH bagi kerusi DUN Hutan Melintang, Wasanthee Sinnasamy
Shamsul terkenal sebagai giant killer di kalangan pemimpin PH selepas dua kali mengalahkan bekas ketua menteri Melaka, Ali Rustam di Hang Tuan Jaya pada PRU 2008 dan 2013.
Menurut seorang pengundi Bagan Datuk yang hanya mahu dikenali sebagai 'Abang Bob', PRU kali ini berbeza sedikit dengan PRU-PRU sebelum ini.
"Kes rasuah Zahid di mahkamah memang ada impak di kalangan pengundi di sini. Selain itu, calon PH pun agak terkenal pada kali ini.
"Pada PRU lepas dia menang majoriti 5,000 undi sahaja. Yang itu pun 2,000 pengundi dari kem tentera Hutan Melintang yang kini telah ditutup ketika Mohamad Sabu menjadi Menteri Pertahanan.
"Jadi, kita boleh kata, tidak mustahil Zahid Hamidi dikalahkan pada kali ini" katanya.
Bagan Datuk adalah kubu kuat Zahid yang memegang kerusi itu sejak 1995.
Dia mengekalkan kerusi itu pada 2018 dengan majoriti 5,073 undi dan meraih 51.4 peratus undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Bagaimanapun, kali ini, presiden Umno itu akan berdepan dengan beberapa calon terkemuka tidak seperti yang berlaku sejak dua dekad lalu.
Kerusi Parlimen Bagan Datuk kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru.
Selain Zahid dan Shamsul Iskandar, Perikatan Nasional (PN) meletakkan Dr Nik Muhammad Faiz Na'aman yang juga adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Seorang lagi pencabar ialah pengasas bersama Gerak Independent (GI) Tawfik Ismail - yang merupakan anak sulung timbalan perdana menteri kedua negara Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai