Skip to main
Logo Malaysiakini

Belum tentu BN boleh 'sapu' kerusi di selatan Johor

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15 | Pada pilihan raya negeri Johor Mac lalu, BN mempertaruhkan 70 peratus muka baru.

Usaha itu kelihatan membuahkan hasil apabila BN menyapu 40 daripada 56 kerusi DUN (71 peratus) untuk memperoleh majoriti dua pertiga dalam dewan undangan negeri (DUN).

Di kawasan bandar di selatan Johor, empat daripada enam calon BN di kerusi DUN di Johor Bahru, Pulai dan Pasir Gudang - merupakan calon baru, di mana dua daripadanya dimenangi sebelum ini.

BN memenangi tiga daripada enam kerusi di tiga kawasan Parlimen ini secara keseluruhan.

Bagi pilihan raya umum ke-15, BN Johor nampaknya mengulangi strategi sama, dengan meletakkan muka baru di Johor Bahru dan Pasir Gudang, dan seorang calon veteran di Pulai.

Bagaimanapun, tidak seperti pada pilihan raya negeri, keyakinan BN Johor bahawa mereka boleh merampas kembali tiga kerusi ini - yang ditawan Pakatan Harapan pada 2018 - nampaknya kurang menghairahkan.

Sumber Umno Johor ketika ditemui Malaysiakini berkata kerusi di bandar di bahagian selatan negeri itu masih dilihat sebagai "kawasan hitam" untuk BN - yang bermaksud sukar untuk dimenangi.

“Seperti di Iskandar Puteri, jika BN boleh mengurangkan majoriti PH pada PRU14, itu dah dianggap sebagai satu kejayaan,” kata sumber berkenaan.

Di Pasir Gudang, sumber itu menyatakan dari BN, yang juga ketua pemuda Umno bahagian itu, mungkin menjadi calon bukan pilihan berbanding penyandangnya dari PH, Hassan Karim.

"Dia (Noor Azleen) mungkin aktif tetapi hanya dalam komunitinya sendiri [...] Hassan Karim sebaliknya telah mencipta nama di parlimen," kata sumber itu.

Percubaan sulung Noor Azleen menyaksikan dia menggantikan bekas ahli parlimen Pasir Gudang, Mohd Khaled Nordin yang tewas kepada Hassan pada PRU14.

Khaled telah berpindah ke kerusi Kota Tinggi yang disifatkan lebih selamat untuk BN.

BN juga meletakkan calon baru dalam politik, Johan Ropi di Johor Bahru - kerusi yang selama lebih 40 tahun disandang oleh pimpinan tertinggi Umno seperti Khaled dan Shahrir Abdul Samad.

Sementara itu, timbalan pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed pula bertanding di Pulai walaupun berkali-kali dia berikrar untuk tidak bertanding di kerusi yang menyaksikan dia tewas pada 2018.

Nur Jazlan menyebut mengenai khidmatnya selama 14 tahun kepada pengundi Pulai tanpa mengira kaum, namun pada masa yang sama menyatakan rasa sangsi bahawa golongan muda Cina - pengundi penting di kawasan itu - akan mengundi BN.

Bagi Perikatan Nasional pula, bekas calon yang bertanding di kawasan bandar di selatan pada pilihan raya negeri lalu mendakwa calon kali pertama yang bertanding menentang penyandang ahli Parlimen tidak mungkin dapat mempengaruhi sokongan Melayu daripada PH mahupun BN.

PN menurunkan Mohtaj Yacob di Johor Bahru dan Mohamad Farid Abdul Razak di Pasir Gudang.

Di Pulai, ketua Gerakan bahagian Tebrau, Loh Kah Yong akan menentang Salahuddin dan Nur Jazlan, di mana perubahan dibuat di saat akhir berikutan penarikan diri peniaga permaidani, Deepak Jaikishan yang pada mulanya diumumkan sebagai calon PN di kerusi itu.

Ini adalah kali kedua Loh bertanding dalam pilihan raya selepas gagal memenangi kerusi Puteri Wangsa pada pilihan raya negeri awal tahun ini.

Kemenangan BN pada PRN Johor

Kurangnya keyakinan dalam kalangan BN dilihat berpunca daripada kemenangan besar gabungan itu dalam pilihan raya negeri, lapan bulan sebelum ini.

Walaupun dilihat membuat lonjakan yang besar, BN sebenarnya hanya mendapat sekitar 43 peratus undi popular.

Dan sementara jumlah keseluruhan pengundi dalam pilihan raya negeri - sekitar 1.5 juta - adalah lebih kurang sama seperti pada 2018, peratusan keluar mengundi adalah lebih rendah di kawasan selatan.

Sebagai contoh di kerusi DUN Larkin Johor Bahru, yang dimenangi BN dengan majoriti 6,178 undi, terdapat kira-kira 6,000 pengurangan undi berbanding 2018.

Tambahan pula, PKR dan Muda telah bertembung di kerusi itu, yang memecahkan sekitar 11,396 undi.

Keputusan pengundian menunjukkan bahawa berbanding 2018, terdapat kira-kira 14,000 pengundi yang kurang di Johor Bahru dan Pulai, manakala jumlah pengundi di Pasir Gudang berkurangan sekitar 1,000.

Ini walaupun terdapat hampir dua kali ganda bilangan pemilih berdaftar di tiga kawasan Parlimen ini yang sama ada mendaftar selepas 2018, atau secara automatik ditambah ke dalam daftar pemilih selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik pada penghujung 2021.

Ia adalah situasi di mana PH Johor yakin mereka boleh mencipta kemenangan, menurut pengerusi PH negeri Salahuddin Ayub - yang mempertahankan Pulai.

“Kita harap kadar keluar mengundi akan meningkat, berdasarkan angka pilihan raya negeri Johor, kita ambil itu sebagai asas kita.

“Kita yakin bahawa seiring dengan peningkatan jumlah pengundi baru, pengundi luar seperti mereka yang pulang dari Kuala Lumpur, Singapura, saya pasti sokongan Melayu terhadap PH akan meningkat seiringan,” kata Salahuddin kepada pemberita di Johor Bahru pada Khamis lepas selepas satu majlis memperkenalkan kesemua 26 calon PH Johor.

"Trend berdasarkan tinjauan kami, pengundi yang belum membuat keputusan, biasanya pada pilihan raya lalu mereka akan berpihak kepada pembangkang," tambahnya.

PH Johor percaya peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi akan membolehkan mereka mempertahankan kawasan selatan iaitu di Johor Bahru, Pulai, dan Pasir Gudang, selain Iskandar Puteri dan Tebrau.

Kelima-lima kerusi itu dianggap sebagai kerusi campuran.

Ini bermakna walaupun sokongan Melayu kepada PH secara umum dipercayai ketinggalan di belakang BN dan PN - hanya margin yang kecil diperlukan daripada masyarakat ini untuk mencipta kemenangan sekiranya PH boleh mendapatkan kebanyakan undi bukan Melayu.

Tetapi penyandang PH di Pasir Gudang, Hassan optimis bahawa gabungan itu dapat meningkatkan sokongan orang Melayu di Johor.

Di aberkata ini kerana orang Melayu Johor - tanpa mengira fahaman politik - "berfikiran terbuka dan rasional" dalam pandangan mereka.

“Pengundi Melayu Johor sama ada ahli Umno, penyokong atau sebaliknya mempunyai sikap terbuka dan rasional. Mereka menolak rasuah.

“Kita mesti ingat veteran Umno Allahyarham Tun Dr Ismail, Tun Hussein Onn, mereka berasal dari Johor. Mereka mempunyai tahap integriti tertinggi, dan menolak rasuah,” kata Hassan.

"Jadi jika anda bertanya kepada saya, orang Melayu Johor, sama ada mereka ahli Umno atau pengundi atas pagar, mereka akan menolak pemimpin Umno pada masa ini yang dianggap mempunyai integriti rendah atau korup," tambahnya.

Keyakinan PH Johor tidak terhenti setakat di kawasan selatan.

Salahuddin dan Hassan, kedua-duanya percaya bahawa dengan peratusan keluar mengundi yang mencukupi, gabungan itu mungkin dapat menawan kubu kuat BN di timur Johor di kerusi seperti Pengerang dan Kota Tinggi - yang memiliki jumlah pengundi Melayu yang lebih tinggi.

Pengerang akan dipertahankan oleh penyandangnya Azalina Othman Said.

Pilihan raya umum ke-15 ditetapkan pada 19 Nov.