Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid: Dr Mahathir rasa dirinya semua benar, pakar alihkan isu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan Dr Mahathir Mohamad kononnya, dirinya bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mempunyai pakatan sulit.

Sambil melabel Mahathir sebagai pakar dalam mengalihkan isu, Zahid berkata spekulasi itu dibuat kerana khuathir partinya dan gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajuinya akan kalah teruk pada pilihan raya.

"Dr Mahathir ini sering merasakan dirinya semua benar, spekulasinya kononnya benar, beliau melakukan telaan demikian, beliau khuathir partinya akan kalah teruk.

"Tentunya, beliau tidak boleh mengharapkan tentang jenama (dirinya sebagai poster boy) yang dijual apabila menyedari penolakan rakyat terhadap Dr Mahathir kini bukan hanya berlaku di Langkawi tetapi di seluruh negara.

"Jadi, mereka merasakan bahawa mengalihkan isu menjadi keutamaan. Dia terkenal sebagai pakar mengalihkan isu," katanya pada pertemuan bersama media di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat di Bagan Datuk hari ini.

Zahid yang juga calon kerusi parlimen Bagan Datuk ditanya mengenai dakwaan Mahathir bahawa dia bekerjasama dengan Anwar dalam PRU15 ini.

Menurut Mahathir yang juga adalah calon Pejuang di parlimen Langkawi, bentuk kerjasama itu adalah sokongan Zahid kepada Anwar menjadi perdana menteri. Sebagai balasan, Anwar akan membantu Zahid melepaskan dirinya daripada kes rasuah di mahkamah.

Ini telah menjadi modal politik kepada kedua-dua gabungan iaitu GTA dan juga Perikatan Nasional.

Anwar telah menafikan wujudnya pakatan dengan Zahid dan menuntut Mahathir mengemukakan bukti.

Zahid pada sidang media itu juga berkata pendekatan berkempen BN sepanjang PRU15 adalah dengan tidak memburukkan atau mengaibkan mana-mana pemimpin atau calon.

Katanya, intipati setiap ceramah, ialah menyebarkan kepada pengundi mengenai pelaksanaan pelbagai program untuk kesejahteraan rakyat, sekiranya BN dapat membentuk kerajaan selepas keputusan PRU15 diumumkan.

“Mengapa kita perlu mengkritik antara satu sama lain. Pendekatan mengutuk atau mengaibkan mana-mana calon lawan tidak harus dilakukan.

“Saya mengamalkan politik matang dengan tidak menyebut atau memburukkan mana-mana individu termasuk parti lawan, atau individu yang pernah menyebut perkara yang tidak baik atau menganiaya saya,” katanya.

Bagan Datuk adalah kubu kuat Zahid yang dipegangnya sejak 1995.

Dia mengekalkan kerusi itu pada 2018 dengan majoriti 5,073 undi dan meraih 51.4 peratus undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Bagaimanapun, kali ini, presiden Umno itu akan berdepan dengan beberapa calon terkemuka tidak seperti yang berlaku sejak dua dekad lalu.

Kerusi Parlimen Bagan Datuk kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Selain Zahid dan Shamsul Iskandar, Perikatan Nasional (PN) meletakkan Dr Nik Muhammad Faiz Na'aman yang juga adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Seorang lagi pencabar ialah pengasas bersama Gerak Independent (GI) Tawfik Ismail - yang merupakan anak sulung timbalan perdana menteri kedua negara Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.