Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS T'ganu: Kita 'bengkak hati' dengan Khairuddin, sudah kenal lama

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Penerangan PAS Terengganu Hishamuddin Abdul Karim secara terbuka menyatakan rasa kesalnya terhadap tindakan Khairuddin Aman Razali yang bertanding menggunakan tiket BN di Parlimen Kuala Nerus.

Hishamuddin yang juga adun Tepoh berkata, dia dan pimpinan PAS Terengganu yang lain telah lama "bengkak hati" dengan bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat itu.

"Kita tak nak cerita berkenaan buruk Khairuddin. Kita kenal (Khairuddin) Takiri ini dari zaman sebelumnya lagi, dua penggal kita duduk dengan dia.

"Bengkak hati ini jangan kiralah, bukan saya seorang saja yang bengkak hati, tanya (ahli jawatankuasa pusat) Ustaz Ridhuan Mohamad Nor bengkak ke tak? Malam ini dia tak ada, kalau tak boleh tanya. Tanya (calon PAS di Kuala Nerus) Dr Alias Razak, tak akan dia nak jawab bengkak juga, dia calon.

"Tapi, saya tolong jawab, Dr Alias pun bengkak juga," katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Markaz Induk Parlimen Kuala Nerus dan Ceramah Perdana di Kompleks Tarbiyah At Taqwa (Komtaq) Batu Enam, di Kula Nerus, malam tadi.

Turut hadir pada program malam tadi adalah Alias, Yang Dipertua PAS Kuala Nerus Shukrimun Shamsudin dan Pengerusi Bersatu Kuala Nerus Khazan Che Mat.

Khairuddin Aman Razali

Hishamuddin berkata PAS Kuala Nerus langsung tidak merasa kehilangan atas tindakan Khairuddin dan mengalu-alukan Umno dan BN untuk menerimanya.

"Saya bukan sengaja nak provoke tetapi itulah yang dirasai oleh pimpinan PAS kawasan semenjak sekian lama. Kita tahu dia tak pakai seluar dalam, kita malas nak selak saja," katanya.

Dia berkata Umno dan BN akan mengalami sendiri apa yang pernah dilalui mereka ketika Khairuddin masih bersama PAS.

“Kita dah kenal lama sebab itu saya kata kalau dia nak pergi, kita tak ada masalah.

"Umno-BN nak ambil, ambillah. Rasalah apa yang kita rasa dulu. Kita nak sebut itu sahaja, kita tak nak berbalah, ambillah dan sila rasa apa yang kami rasa dulu," katanya lagi, tanpa mengulas lanjut berkenaan perkara itu.

Selain Khairuddin, seorang lagi bekas wakil rakyat PAS yang bertanding di bawah BN adalah penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi.

Che Abdullah Mat Nawi

Mereka berdua dilihat menjadi fokus serangan PAS pada kempen kali ini, dalam usaha parti itu untuk kekal memegang dua kerusi Parlimen tersebut.

Hishamuddin dalam ucapannya turut mengingatkan ahli dan penyokong PAS agar tidak lemah semangat untuk berdepan dengan Khairuddin di Kuala Nerus.

"Saya berhasrat untuk mengajak semua daripada kita bagaimana untuk memperkukuhkan parti kita untuk menghadapi PRU 15.

"Jangan lemah semangat untuk berdepan dengan bekas ahli Parlimen kita (Khairuddin). Kita mesti merasai kemuliaan jiwa kerana kita mengikat janji setia dengan Allah," katanya.

Pesanan sama diberikannya ekoran kegagalan untuk meneruskan kerjasama dengan BN menerusi Muafakat Nasional dalam PRU kali ini.

"Kita jangan rasa lemah semangat apabila kita tidak bersama dalam Muafakat Nasional dengan BN. Kita sudah sekian lama berdepan dengan Umno-BN, kalau tak berpakat kita sebenarnya memiliki kemulian diri kita sendiri," katanya lagi.

Harap Khairuddin 'insaf'

Pada masa sama, Hishamuddin berharap Khairuddin yang merupakan bekas rakan seperjuangannya untuk kembali kepada apa yang disifatkannya sebagai perjuangan untuk perpaduan ummah pada masa akan datang.

"Walaupun kita berlawan hari ini, kita berharap selepas daripada ini mereka insaf dan kembali untuk bertaut sesama masyarakat Islam dan juga bersatu-padu diatas nama perpaduan ummah.

"Sebab itu kalau tuan-tuan lemah semangat, kalau rasa tak sanggup nak lawan Takiri, maknanya kita tak bersedia untuk ambil alih kerajaan dengan memberikan pemimpin yang lebih berdaya saing, yang tidak ada kepentingan diri," katanya lagi.

Pada PRU14, Khairuddin yang ketika itu bertanding atas tiket PAS menang menewaskan calon BN, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad dan calon PKR, Abdullah Muhammad dengan majoriti 8,447 undi.

Selain Alias, Khairuddin kali ini turut dicabar dua lagi calon iaitu Suhaimi Hasnim dari PH dan Azaha Wahid dari Pejuang.