Skip to main
Logo Malaysiakini

Khairuddin promosikan 'politik sederhana' diilhamkan Zahid

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas mula 'diserang' oleh pemimpin dari bekas partinya, Khairuddin Aman Razali hari ini dilihat mempromosikan cara berkempen yang "sederhana" serta menolak "politik fitnah".

Melalui hantaran yang dikongsikannya di media sosial bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat itu mahukan agar perjalanan politik dibuat secara sederhana, bukannya ekstrem.

Malah dia juga tidak senang dengan tindakan parti lain memberi label kepada musuh politik mereka seperti sekular, "sedangkan mereka endiri tidak mencerminkan apa yang didambakan" itu.

Bagaimanapun kali ini Khairuddin tidak menulis sendiri hantaran berkenaan, sebaliknya dia mengambil 'pesanan' Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

"Agenda politik kesederhanaan perlu dipertegaskan di tengah-tengah suasana kini terdapat segelintir parti politik memainkan isu sentimen keagamaan dan melampau batas toleransi kaum.

"Melabel-label parti lain sebagai kurang Islami, sekular sedangkan mereka sendiri tidak mencerminkan apa yang didambakan tersebut.

"Sikap memperlekeh pihak lain seolah-olah orang lain tidak baik berbanding mereka tetapi menaburkan politik fitnah merata-rata hanya untuk secupak undi kerana mereka hakikatnya tidak diterima oleh masyarakat majoriti yang lebih mahu politik kesederhanaan dan menolak politik ekstrem melanggar adab dan etika," kata Ahmad Zahid.

Sindir menteri PAS

Khairuddin merupakan antara pemimpin kanan PAS yang ranggi pada suatu ketika dulu sebelum kelihatan dipinggirkan partinya selepas tidak lagi dilantik menganggotai kabinet apabila Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri.

Apabila kerajaan PH dijatuhkan di luar pilihan raya pada Feb 2020, kerajaan yang diketuai Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin melantik Khairuddin sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi.

Bagaimanapun semasa menjadi menteri dia terbabit dalam beberapa kontroversi termasuk gagal mematuhui prosedur operasi standard bagi mengekang wabak Covid-19, iaitu menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Dia juga gagal mendapat undi mencukupi untuk menyertai Jawatankuasa Pusat PAS, namun dibawa ke jawatan itu secara lantikan. Pun begitu pada Jan lalu dia dipecat tidak sampai dua bulan selepas dilantik.

Pada 14 Mac pula dia mengumumkan keluar dari PAS. Dalam PRU kali ini Khairuddin bertanding sebagai calon BN di kerusi Kuala Nerus yang dimenanginya pada 2018 atas tiket PAS.

Selain itu bekas setiausaha perhubungan PAS Kelantan, Che Abdullah Mat Nawi, juga dinamakan oleh BN untuk mewakili parti itu bagi merampas kerusi parlimen Tumpat di Kelantan.

Hari ini Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menganggap Che Abdullah sebagai "muka tak malu" kerana menganggap dirinya masih menjadi ahli parti berkenaan.

Dalam hantaran Ahmad Zahid yang dikongsi Khairuddin itu, secara berlapik dia turut menyindir Takiyuddin iaitu salah seorang menteri dari PAS dalam kabinet sebelum ini.

"Mereka juga tidak berprestasi tinggi apabila diberikan peluang menjawat jawatan menteri tertentu, seperti menteri perundangan, hingga mengakibatkan Yang di-Pertuan Agong dukacita apabila pembatalan Ordinan Darurat dibuat sebelum perkenan baginda.

"Jauh berbeza dengan prestasi penggantinya dari GPS (Gabungan Parti Sarawak) yang menjadi menteri undang-undang yang membawakan pelbagai pembaharuan dalam masa singkat," katanya.

Hantaran Ahmad Zahid itu dimuat naik pagi tadi, namun dikongsikan oleh Khairuddin sejurus selepas tengah hari ini.