Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon PSM di Ayer Kuning isytihar aset bersih RM992.50

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15 | Calon PSM di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak, Bawani KS hari ini mengisytiharkan hartanya dan berharap calon-calon lain turut mengikut jejak langkah sama.

Bawani yang masih bujang dan kini tinggal bersama ibunya, mengisytiharkan aset bersih bernilai RM992.50 selepas ditolak hutang berjumlah RM47,570.90 daripada jumlah aset bernilai RM48,563.40.

Menjelaskan pecahan itu, Bawani berkata dia memiliki Proton Bezza bernilai RM29,000 dan telefon bimbit Oppo Reno 5 Pro bernilai RM2,100.

Selain itu, timbalan setiausaha agung PSM itu juga mempunyai simpanan sebanyak RM17,463.40 di dalam bank.

Bawani juga mempunyai baki pinjaman kereta berjumlah RM27,320.90 dan pinjaman pendidikan berjumlah RM20,250, dengan jumlah keseluruhan RM47,570.90 lagi untuk dibayar.

Bawani turut mengisytiharkan gaji bulanannya sebagai peguam sebanyak RM5,000 dan jumlah simpanan KWSP sehingga 1 Nov 2022 ialah sebanyak RM12,189.41

Bawani berkata langkah mengisytiharkan harta secara terbuka bagi calon PSM telah menjadi tradisi parti itu sejak pilihan raya umum 1999.

“Ini sangat penting untuk calon lain, bekas ahli parlimen dan wakil rakyat akan datang untuk mengisytiharkan aset dan untuk orang ramai tahu berapa banyak aset yang mereka ada.

“Dengan mengisytiharkan harta kita, ketelusan calon boleh diterjemahkan. Kemudian, kita boleh wujudkan calon dan wakil rakyat yang bersih,” katanya kepada Malaysiakini selepas majlis pengisytiharan aset yang diadakan di Pusat Perniagaan Air Kuning, Chenderiang hari ini.

Turut hadir pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj, ahli jawatankuasa pusat PSM Chong Yee Shan dan bekas timbalan pengerusinya, M Sarasvathy.

Dr Jeyakumar berkata pengisytiharan harta bukan sahaja untuk diserahkan kepada pemimpin parti atau speaker Parlimen, malah ia turut dipaparkan di laman web PSM untuk semakan orang ramai.

“Rakyat boleh semak sama ada Bawani menjadi lebih kaya selepas setahun dia dipilih menjadi Adun.

“Jika kekayaannya bertambah, rakyat boleh tanya bagaimana dia boleh jadi kaya dan mana datangnya wang itu,” katanya sinis.

Jeyakumar berkata, pengisytiharan harta harus dilakukan supaya adanya semak dan imbang terhadap ahli-ahli politik serta memastikan mereka menjauhkan diri daripada rasuah.

“Inilah budaya politik baru yang dibawa oleh PSM,”tambahnya,

Ayer Kuning akan menyaksikan pertandingan lima penjuru pada pilihan raya umum kali ini melibatkan Bawani, Ishsam Shahruddin (BN), Mohd Nazri Hashim (PH), Muhammad Noor Farid Zainal (PN) dan Maziah Salim (GTA).

Untuk rekod, Ayer Kuning merupakan kubu kuat Umno sejak 1986.