Skip to main
Logo Malaysiakini

GTA padam poster Sasterawan Negara dengan 'sajak' Hai Melayu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gerakan Tanah Air (GTA) menarik balik salah satu poster kempen mereka yang dimuat naik di Facebook beberapa hari selepas ditegur Penyair Kuala Lumpur, Pyanhabib, kerana dianggap menyelewengkan fakta.

Menurut Pyanhabib, kata-kata yang dipetik sebagai salah satu karya A Samad Said pada poster tersebut bukanlah karya Sasterawan Negara berkenaan.

Kata Pyanhabib, "benda bangang" tersebut memang sudah banyak bertebaran dikongsi serta ditularkan oleh orang ramai dengan mendakwa kononnya ia adalah sajak Samad.

"Sudah bertahun-tahun benda bangang ini beredar walaupun saya sudah bagitahu, itu bukan sajak Pak Samad.

"Ia disebarkan daripada seorang kepada seorang yang lain dan sejak bertahun-tahun sudah saya merungut pasal benda bangang bingai ini," katanya kepada Malaysiakini.

Pyanhabib

Pyanhabib yang turut dikenali ramai sebagai pelakon menambah sejak mengesan hantaran berkenaan dan membuat teguran, pihak pentadbir akaun berkenaan tidak memadamkan poster yang mengelirukan itu.

"Hampir dua minggu saya tunggu kalau ada tindakan diambil," katanya.

Semakan Malaysiakini menunjukkan hantaran yang dirujuk Pyanhabib itu dimuat naik pada 31 Okt lalu dengan tajuk Melayu Malas.

Ia jelas bertujuan mempertahankan Pengerusi GTA, Dr Mahathir Mohamad. yang pernah menegur sesetengah Melayu sebagai pemalas.

"Justeru, bagi mereka yang berfikir, mereka sedar teguran Tun (Mahathir) ini tidak berniat jahat dan disuarakan kerana kecintaan Tun M dan kesungguhannya mahu melihat bangsanya berjaya," kata hantaran tersebut.

Tulisan sudah dirosakkan

Mengiringi status itu ialah beberapa poster memaparkan Mahathir serta situasi sosioekonomi orang Melayu/bumiputera dengan bangsa lain.

Paparan yang dipertikaikan itu pula memuatkan gambar tiga tokoh terkenal negara ini. Selain Samad, turut diletakkan di situ ialah bekas naib canselor Universiti Malaya dan pengasas Lembaga Tabung Haji, Allahyarham Ungku Aziz.

Seorang lagi tokoh yang disertakan ialah tokoh bahasa dan pendidik terkenal, Zaba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad.

Di bawah gambar Samad itu dinukilkan beberapa baris 'sajak' yang kononnya berjudul Hai Melayu!.

Sebelum ini sudah ada pelbagai pihak menegaskan 'sajak' berkenaan bukan hasil karya Samad.

Pyanhabib berkata asalnya 'sajak' berkenaan adalah nukilan seorang penulis dari Pulau Pinang dan ia merupakan hasil tangan "yang sedap dibaca".

"Namun ia kemudian ditokok tambah dan dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Penerangan GTA, Mahdzir Ibrahim, ketika dihubungi tidak dapat memberikan komen lebih lanjut kerana sedang sibuk berkempen di kawasan parlimen Sri Gading, Johor.

Semakan di Facebook Pyanhabib pula menunjukkan pentadbir akaun itu memaklumkan mereka sudah memadamkan poster berkenaan.

"Terima kasih kerana menegur. Kami memohon maaf atas kekhilafan.

"Kami mendoakan kesejahteraan saudara dan semoga Allah SWT memberkati kita semua," katanya.