Rafizi: Saya, Anwar ada perbezaan tetapi kami 'tolak Zahid'
PRU15 l Rafizi Ramli mengakui bahawa dirinya dan Anwar Ibrahim tidak sehaluan dalam banyak perkara, termasuk yang terbaru ialah pilihan calon untuk kerusi Parlimen Sungai Buloh.
Bagaimanapun, apabila bercakap mengenai Ahmad Zahid Hamidi, kedua-dua pemimpin PKR itu bersependapat.
Bercakap kepada Malaysiakini, Rafizi menegaskan jika ada satu perkara yang dipersetujui mereka bersama adalah bahawa tiada ruang untuk berkompromi, Pakatan Harapan tidak sepatutnya mengadakan pakatan dengan presiden Umno itu.
“Ya, saya dan Anwar ada perbezaan. Tetapi ini adalah sesuatu yang kita bersetuju. Isu bekerjasama dengan Zahid seharusnya langsung tidak timbul, sama sekali,” katanya.
Timbalan presiden PKR itu yakin PH mampu memenangi mandat rakyat pada pilihan raya umum 19 Nov ini dan kembali semula ke Putrajaya selepas ditumbangkan setelah hanya berkuasa 22 bulan selepas pilihan raya 2018.
“Dinamik politik telah berubah,” kata Rafizi, merujuk kepada peningkatan sokongan kepada BN dalam beberapa pilihan raya kecil, serta pilihan raya negeri Melaka dan Johor lalu, yang menyebabkan Zahid mendesak Ismail Sabri Yaakob supaya segera membubarkan parlimen supaya pilihan raya umum dapat diadakan tahun ini.
Awan gelap musim tengkujuh
Pada pilihan raya Johor Mac lalu, BN berjaya menawan 40 daripada 56 kerusi DUN untuk merampas semula negeri kelahiran Umno itu, yang jatuh kepada PH pada PRU14 lalu.
Malah awan gelap musim tengkujuh tidak dapat menghalang Zahid daripada mendesak supaya PRU15 segera diadakan dengan tujuan, menurut pesaingnya, untuk cuba campur tangan kes rasuahnya di mahkamah semata-mata untuk mengelakkannya daripada dihumban ke penjara seperti nasib bekas perdana menteri Najib Razak.
Bagaimanapun, menurut Rafizi tindakan Ismail Sabri sudah terlambat dan taktik "serangan Zahid” ketika mereka adalah lemah mungkin tidak membuahkan hasil.
Dia mendakwa sokongan kepada Umno-BN sejak itu kian terhakis, dan ini seterusnya meningkatkan prospek PH dalam pilihan raya umum kali ini.
"Kita sekarang boleh dapat mandat sendiri tanpa perlu bekerjasama dengan pihak lain," tambahnya.
Suara akar umbi
Menjawab soalan mengenai DAP yang tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Umno, satu perikatan yang tidak pernah dijangkakan sama seperti ketika Lim Kit Siang, Anwar dan Dr Mahathir Mohamad duduk semeja sebagai sekutu, Rafizi mengulangi bahawa keadaan telah berubah.
“Sejak beberapa bulan lalu, momentum bersama Harapan dan kita yakin bahawa kita boleh mendapat mandat sendiri.
"Bekerjasama dengan Zahid dan Umno akan mengkhianati mandat ini," katanya.
Tambahan pula, Rafizi menegaskan, pemilihan PKR telah menghantar mesej empati kepada kepimpinan tentang kepentingan menjaga prinsip penubuhan parti.
“Akar umbi telah bersuara, lantang dan jelas. Mereka lebih suka menjadi pembangkang daripada melihat PKR mengorbankan prinsipnya sebagai pertukaran untuk kuasa dan jawatan,” katanya lagi.
PKR, asalnya dikenali sebagai Keadilan, kemudiannya membara dalam gerakan Reformasi selepas Mahathir memecat Anwar daripada kerajaan pada 1998. Perjuangannya berpaksikan keadilan sosial dan membasmi rasuah.
Pemilihan PKR, dari April hingga Julai tahun ini, menyaksikan kembalinya Rafizi ke persada politik negara, selepas sekian lama menyepi, setelah mencatatkan kemenangan besar ke atas Saifuddin Nasution Ismail, yang dilihat sebagai pilihan Anwar untuk menjadi timbalan presiden parti.
Dakyah PN, GTA
Sementara itu, Rafizi menuduh Perikatan Nasional, yang diterajui oleh Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang, serta Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Mahathir menulis bersama naratif palsu bahawa PH akan bersekongkol dengan Zahid.
Menurutnya, rancangan berkenaan bertujuan mengugat sokongan PH di kalangan pengundi bukan Melayu dan bandar, yang akan menentang kerjasama dengan Umno.
Dalam pertembungan pelbagai penjuru, Rafizi berkata, bahagian terbesar undi akan dikaut oleh dua pencabar utama, PH dan BN.
“Jadi PN dan GTA akan meneruskan tohmahan ini. Mereka akan terus mainkan naratif ini walaupun penafian berulang kali. Saya harap pengundi nampak ini,” tambahnya.
Semalam, kedua-dua Anwar dan Zahid menafikan terdapat persetujuan antara mereka selepas Mahathir membangkitkan isu itu.
Mahathir mendakwa pemimpin PH itu berjanji akan membantu Zahid melepaskan dirinya daripada kes rasuah di mahkamah sebagai pertukaran untuk sokongan BN kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.
Minggu lalu, Hadi mendakwa ada kalangan orang Umno mahu mengecilkan kemenangan BN sendiri dalam PRU15 demi membesarkan peluang PH untuk meraih kemenangan dan kedua-dua parti itu boleh bergabung bagi membentuk kerajaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai