Skip to main
Logo Malaysiakini

Aziz mahu pengundi Sg Buloh tetap tolak KJ yang bersetia pada Umno

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa berpendapat, pemilih di Sungai Buloh masih perlu memberikan undi mereka kepada calon PH berbanding Khairy Jamaluddin yang mewakili BN.

Abdul Aziz Bari berkata walaupun mungkin ada pihak yang menganggap kekalahan Khairy itu mungkin merugikan secara peribadi, bekas ketua Pemuda Umno itu masih mewakili parti yang 'tercemar' dengan sejarah perkauman dan rasuah.

"Bagi saya mengikut sistem parlimen Westminster yang kita amalkan, pasukan itu sangat penting. Ia begitu genting.

“Sebab itulah orang seperti Khairy tidak patut diundi walaupun ada latar belakang pendidikan Oxford dan prestasinya sebagai menteri kesihatan baik.

"Kedudukannya yang kekal dalam Umno/BN menunjukkan dia komited kepada parti yang korup dan perkauman tersebut," kata Aziz kepada Malaysiakini.

Khairy merupakan ahli parlimen Rembau selepas dicalonkan di situ untuk kali pertama pada 2008.

Kini berusia 46 tahun dia bagaimanapun 'dipindahkan' ke kerusi parlimen Sungai Buloh dalam PRU ke-15 ini untuk memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bertanding Rembau.

Sungai Buloh dianggap antara kerusi selamat buat PH khususnya pada PRU ke-13 dan ke-14 apabila calon gabungan terbabit, R Sivarasa, memenanginya dengan majoriti lebih 26,000 undi.

Kali ini PH menggantikan Sivarasa dengan bekas bendahari agung MIC, R Ramanan.

Tinjauan Malaysiakini ke Sungai Buloh baru-baru ini menunjukkan ramai penyokong PH berdepan "dilema" apabila mereka masih mahukan pengerusi gabungan itu, Anwar Ibrahim, menjadi perdana menteri namun pada masa sama akan berasa terkilan jika Khairy dikalahkan.

Salah faham perniagaan

Untuk membolehkan Anwar dilantik sebagai perdana menteri penyokong PH perlu memastikan mereka memberikan sebanyak mungkin undi kepada calon masing-masing sekali gus menyumbang kerusi parlimen untuk gabungan tersebut.

Sesetengah pemilih yang ditemui menjelaskan mereka mungkin memberikan undi berdasarkan personaliti, bukannya mengikut parti kali ini.

Abdul Aziz berkata pengundi tidak boleh terpengaruh dengan kecenderungan itu kerana Khairy memilih untuk bersama dengan pihak kleptokrat selama ini.

Sikap tersebut, kata penyandang kerusi DUN Tebing Tinggi di Perak itu, menjadikan kata-kata Khairy bahawa dia mahukan kerajaan yang bersih dan bertanggungjawab sebagai satu ejekan.

"Khairy memilih untuk membelakangkan prinsip itu," katanya.

Khairy mula dilantik sebagai anggota kabinet pada 2013 oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak. Jawatan terkini menantu Abdullah Ahmad Badawi itu ialah menteri kesihatan selepas dia dilantik pada 30 Ogos 2021.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan atas tujuh kesalahan jenayah, manakala Umno sedang dipimpin Ahmad Zahid Hamidi yang sedang dibicarakan atas dakwaan salah guna kuasa dan rasuah.

Ramanan pula melepaskan jawatannya sebagai bendahari agung MIC selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur mendapati dia memperoleh RM5.5 juta secara curang dengan mengemukakan surat palsu dalam kes sivil pada 2014.

Dia kemudiannya menyertai PKR.

Ramanan memberitahu Malaysiakini kes sivil itu hanyalah salah faham perniagaan dan telah diselesaikan secara baik.

Ramanan juga menafikan dia tidak telus sepenuhnya apabila tidak memberikan pecahan asetnya semasa mengisytiharkan harta - dengan aset bersih bernilai RM63.5 juta - seperti yang dikehendaki PKR.

Dia sebaliknya sudah melakukan tanggungjawab tersebut dan meminta Khairy pula membuat tindakan sama.

Menurut Abdul Aziz dia memang tidak mengenali Ramanan secara peribadi namun yakin tokoh terbabit berada di bawah kepemimpinan Anwar.

"Dengan Khairy isunya mungkin seorang lelaki yang baik tetapi memilih untuk berada dengan organisasi yang salah, berbanding seseorang yang mungkin tidak begitu baik tetapi telah memilih untuk berada dalam organisasi yang baik," katanya.

Ramanan juga menolak kritikan bahawa dia tidak telus sepenuhnya apabila tidak memberikan pecahan pengisytiharan asetnya mengenai aset bersih RM63.5 juta, termasuk RM4 juta dalam barang kemas, tetapi tidak memberikan butiran terperinci, seperti yang dikehendaki oleh parti.

"Saya telah membuat pengisytiharan dan jadi saya ingin memberitahu pasukan siber BN ini untuk meminta Khairy Jamaluddin untuk pengisytiharan asetnya," katanya.

[Baca berita penuh]