Skip to main
Logo Malaysiakini

Rafizi jangka parlimen tergantung, PH mendahului

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15 l Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yakin pilihan raya umum ke-15 akan berakhir tanpa mana-mana gabungan atau parti memiliki majoriti - membawa kepada Parlimen tergantung.

Dia juga berkata usaha untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya boleh menyaksikan seteru PH mengisytiharkan "DAP ini sebenarnya Melayu" untuk mendapatkan sokongan mereka.

Berucap pada ceramah di Ledang, Johor malam tadi, calon Pandan itu mengulangi bahawa parti yang sedang mendahului PRU15, buat masa ini, ialah PH - yang menurutnya akan memenangi i kira-kira 80 kerusi.

Sementara itu, katanya, BN berada di tempat kedua dengan kira-kira 60 hingga 70 kerusi, dan mereka menyedari sepenuhnya keadaan semasa itu.

“Umno/BN walaupun dia yakin dia rasa dia (boleh) menang sampai dia paksa buat pilihan raya sekarang, ada dengar tak Umno/BN mendabik dada dia akan bentuk kerajaan?

“Kita tak dengarlah macam yang dulu-dulu yang dia begitu yakin masuk pilihan raya sahaja confirm dia (Umno/BN) menang,” katanya semasa ceramahnya di Tangkak, malam tadi.

Semasa perjumpaan dengan pengundi di sebuah kafe yang penuh sesak di Batu Pahat, semalam, Rafizi berkata bahawa tanda-tanda kekurangan keyakinan BN boleh dilihat dalam prestasi hambar mereka dalam "perang bendera".

Duit tak ada, CEO Bank Umno di hotel Kajang

Sambil menyifatkan ia sebagai pameran kekuatan BN yang paling 'cabuk', timbalan presiden PKR itu mendakwa pemimpin Umno tidak mengeluarkan wang untuk memasang bendera.

“Saya banyak kawan Umno mereka suka beli insurans kalau dia tengok gelombang itu kuat. Semua cakap benda sama - duit tak ada.

“Saya tanya takakan tak ada (duit). Kau orang kan banyak duit. Saya faham bila dia orang kata duit tak ada maksudnya CEO ‘Bank Umno’ sekarang ini dah di hotel Kajang. Jadi duit tak ada,” katanya.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, namun adalah jelas, Rafizi merujuk kepada bekas pengerusi BN Najib Razak - yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang selepas didapati bersalah menyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Najib juga sedang dibicarakan atas skandal 1MDB - yang antaranya melibatkan pemindahan AS$681 juta ke akaunnyamenjelang pilihan raya umum 2013.

Dana itu dikatakan digunakan untuk membiayai kempen pilihan raya BN. Najib kemudian memulangkan AS$620 juta.

Pendakwa raya dan penyiasat berkata wang itu berasal daripada dana 1MDB yang diselewengkan, dan jumlah yang dikembalikan telah dimasukkan ke dalam akaun di bawah kawalan ahli perniagaan Low Taek Jho (atau Jho Low).

Takut buat pelaburan besar

Selain tidak ada kelibat Najib, Rafizi berkata pemimpin Umno juga tidak mahu membuat pelaburan besar pada pilihan raya kali ini yang mereka tidak yakin mampu menang.

Semalam, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah bendera parti yang dipasang tidak boleh dijadikan sebagai ukuran atau penanda aras sokongan semasa pilihan raya.

Sementara itu, Rafizi berkata Perikatan Nasional juga mencatat prestasi yang buruk walaupun di Johor - negeri kelahiran pengerusi gabungan itu, Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Rafizi berkata Perikatan Nasional juga mencatat prestasi yang buruk walaupun di Johor - negeri kelahiran pengerusi gabungan itu, Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PKR Johor itu mendakwa PH mengambil alih kedudukan PN sebagai gabungan kedua paling popular di kalangan orang Melayu di negeri itu - peningkatan besar berbanding pada pilihan raya negeri Johor lalu.

Sekiranya jangkaannya bahawa Parlimen akan tergantung menjadi kenyataan, Rafizi berkata tidak mustahil sama ada BN atau PN akan cuba melamar DAP, komponen PH untuk mendapatkan sokongan.

‘DAP komunis’ timbul lima tahun sekali

Menjelaskannya, Rafizi berkata serangan terhadap DAP, seperti kononnya ia parti komunis, hanya timbul semasa musim pilihan raya.

“Soal DAP komunis hanya keluar lima tahun sekali.

“Tetapi dua atau tiga tahun lepas masa dia tak majoriti Umno panggil dan cuba pujuk DAP supaya fikirkan boleh ke tidak bekerjasama dengan Umno,” katanya.

Adalah dipercayai Rafizi merujuk kepada rampasan kuasa bersama Umno dan PH di Perak terhadap menteri besar ketika itu Ahmad Faizal Azumu pada 2020.

Bagi PN, dia berkata PAS, khususnya, akan memomokkan parti bukan Melayu atau Cina yang tidak sehaluan dengan mereka tetapi memuja mereka yang bekerjasama dengannya.

‘DAP ini sebenarnya Melayu’

Justeru, katanya, Muhyiddin atau Presiden PAS, Abdul Hadi Awang - yang adalah pengkritik tegar DAP - akan mendendangkan rentak berbeza minggu selepas pilihan raya.

“Katakanlah minggu depan, keputusan mereka adalah untuk bersatu dan membentuk kerajaan, dan mereka perlu melibatkan DAP.

“Percayalah cakap saya masa itu, Muhyiddin Yassin ke Hadi Awang ke - dia akan kata tak timbul DAP ini komunis.

“Percayalah kalau saya kata, pada masa itu, Muhyiddin atau Hadi, perkara DAP sebagai ‘komunis’ tidak akan timbul.

“Kalau untuk dekat (tubuhkan) masuk kerajaan supaya mereka boleh balik berkuasa jadi menteri balik, semalam dia kata PH ini Cina DAP esok dia boleh kata DAP ini sebenarnya Melayu,” kata Rafizi.

PAS dan DAP sebelum ini bergabung bawah Barisan Alternatif pada 1998, sebelum membentuk Pakatan Rakyat bersama PKR pada 2008.

Bagaimanapun, ketegangan antara kedua-dua parti membawa kepada perpecahan dan kehancuran Pakatan Rakyat pada 2015 - selepas itu Pakatan Harapan ditubuhkan dengan kumpulan serpihan PAS, Amanah.

Bersatu kemudian menyertai PH pada 2016, tetapi kemudian menikam belakang gabungan itu pada 2020 dengan Muhyiddin mendakwa dia terpaksa melakukannya demi menyelamatkan negara ini daripada DAP.

[Baca berita penuh]