Skip to main
Logo Malaysiakini

Lim sambut cabaran debat Wee

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi DAP Lim Guan Eng menerima cabaran rakan sejawatannya daripada MCA Wee Ka Siong untuk debat awam mengenai punca kelewatan projek pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang.

“Dia telah mencabar saya untuk berdebat... saya tidak akan berundur. Biar dia yang mengatur masa dan tempat.

"(Saya menerima cabaran kerana) setiap kali Wee terperangkap, dia akan cuba mengelak tanggungjawab dengan berbohong," kata Lim kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini.

Pentadbiran Najib Razak telah mengumumkan rancangan untuk menaik taraf dan membesarkan lapangan terbang berusia 87 tahun itu semasa ucapan Belanjawan 2018.

Bagaimanapun, projek itu masih belum diteruskan sehingga hari ini.

Dua hari lalu, Wee mendakwa Putrajaya sememangnya memperuntukkan wang untuk projek itu pada 2018.

Dakwanya, apabila pentadbiran Pakatan Harapan mengambil alih, Lim, selaku menteri kewangan ketika itu, enggan menggunakan dana itu dan sebaliknya mahu menggunakan model PFI (inisiatif kewangan swasta).

Menjawab perkara ini, Lim berkata dakwaan Wee tidak tepat kerana walaupun projek itu dalam ucapan Belanjawan 2018, ia tidak pernah digariskan dalam dokumen perbelanjaan kerajaan persekutuan 2018.

Kedua, kata Lim, Malaysia Airport Holding Bhd tidak pernah meminta sebarang kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan sehingga 17 Julai 2019 - sepanjang tempoh pentadbiran PH.

Sebelum ini, Wee turut mengumumkan Putrajaya tidak pernah membatalkan projek menaik taraf lapangan terbang itu dan telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Pulau Pinang mengenai pengambilan tanah.

Dia berkata sebaik sahaja urusan tanah diselesaikan, MAHB akan menyediakan dana yang diperlukan untuk memulakan projek itu.

[Baca berita asal]