Zahid: Aksi bertuala bukti keberanian Jamal bawa suara rakyat
Aksi-aksi yang pernah dilakukan calon BN bagi Parlimen Sungai Besar Jamal Yunos sebelum ini, termasuklah muncul di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dengan hanya bertuala bagi membantah isu air beberapa tahun lalu, mungkin menyebabkan dia dipandang remeh.
Namun bagi Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, ia adalah bukti kepada komitmen Jamal dalam menjadi suara rakyat.
"Kita kenal dia. Dia sanggup pakai tuala bila tak ada air (kerana gangguan bekalan)," katanya di depan kira-kira 200 hadirin dalam ceramah di Sungai Besar, malam tadi.
"Apa yang penting keberaniannya amat luar biasa," katanya lagi.
Pada 2016, Jamal bersama sekumpulan penyokong tiba di depan pintu pagar bangunan SUK Selangor di Shah Alam hanya dengan memakai tuala.
Dia juga membawa gayung yang berisi peralatan mandi dan menyelitkan berus gigi di celah telinganya untuk membantah gangguan bekalan air yang berlaku pada masa itu.
Aksi itu menyebabkan ramai yang menggelarnya dengan nama Jamal Jamban.
Kes-kes mahkamah
Cuba menjadikan masalah yang dikaitkan dengan Jamal sebagai asetnya, Zahid berkata pelbagai saman fitnah serta kes jenayah terhadapnya adalah bukti ketua Umno Sungai Besar itu tidak takut untuk menyuarakan isu kepentingan rakyat.
Jamal antara lain didakwa meninggalkan negara secara haram pada 2018.
Ketika itu dia cuba mengelak daripada didakwa di mahkamah selepas memecahkan botol arak menggunakan tukul besi di depan banguan SUK Selangor pada tahun sama.
Pada 2020, dia didakwa atas kesalahan memuat naik video mengandungi kenyataan jelik di Facebook namun dibebaskan pada 10 Ogos tahun ini.
Pada 30 Ogos lalu pula, dalam kes saman fitnah terhadapnya, mahkamah menolak rayuannya untuk mengetepikan keputusan agar dia membayar ganti rugi berjumlah RM150,000 kepada penyandang kerusi Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.
Minggu lalu, penyandang kerusi Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar menolak pencalonan Jamal atas dasar dia telah memulakan prosiding pengisytiharan muflis terhadap Jamal kerana tidak membayar ganti rugi RM300,000, berkaitan satu saman fitnah yang difailkan.
'Saya tak lobi untuk dibebaskan'
Menurut Zahid, ada pihak yang melabel ahli politik seperti dirinya dan Jamal sebagai "kluster mahkamah" kerana berdepan perbicaraan, namun itu tidak bermakna mereka bersalah.
Kata Zahid, walaupun dia masih berdepan dengan 87 pertuduhan, mahkamah pada September lalu telah membebaskannya daripada 40 pertuduhan dalam kes rasuah berkaitan Sistem Visa Luar Negara (VLN).
"Saya tak pernah minta sesiapa bebaskan saya; tiada rundingan atau lobi kerana saya tahu saya di pihak benar.
"Jangan takut Jamal, saya ada bersama kamu," kata Zahid.
Zahid juga mengingatkan hadirin bahawa Jamal sudah sekian lama berkhidmat untuk penduduk di Sungai Besar dan Sekinchan walaupun dia bukanlah wakil rakyat di situ, termasuk dalam usaha membebaskan nelayan kaum Cina yang ditahan di Indonesia pada 2016.
"Ertinya Jamal 'buta warna' dari segi membantu (orang lain) - Melayu, Cina, India, Jawa atau Banjar," katanya lagi.
Menyelitkan bahasa Jawa dalam ucapannya, Zaid berkata itulah sebabnya dia menjadikan Sungai Besar antara destinasi kempen pertamanya di luar Perak.
Dia memohon maaf kerana mengambil sedikit masa untuk berkempen di luar negeri itu, dan berkata dia perlu mengukuhkan kedudukannya di Parlimen Bagan Datuk terlebih dulu.
"Saya kena jaga ayam-ayam saya supaya musang tak masuk reban ayam saya. Bila saya rasa selamat, baru saya datang (kempen) untuk Jamal," selorohnya.
Dia turut mengucapkan tahniah kepada pemenang cabutan bertuah yang diadakan dalam acara semalam.
Antara hadiah yang ditawarkan adalah motosikal Yamaha Y16 yang bernilai sekurang-kurangnya RM10,000, peti sejuk, pelbagai alat elektrik dan hamper makanan.
"tahniah pada bakal pemenang cabutan bertuah. Di Bagan Datuk kita tiada duit nak beli motor (sebagai hadiah)," kata Zahid.
Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyatakan tindakan memberi wang atau "hadiah" untuk meraih undi adalah satu kesalahan.
Ini kali pertama Jamal, 52, bertanding di situ.
Dia akan berdepan penyandangnya Muslimin Yahaya dari PN, Saipolyazan Mat Yusop (PH) dan Asmawar Samad (Putra).
Pada PRU lalu, Muslimin yang ketika itu bertanding di bawah tiket PH menang dengan majoriti hanya 714 undi dalam pertembungan tiga penjuru dengan BN dan PAS.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai