Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak sampaikan rasa kecewa Najib terhadap situasi di Perlis

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak memberikan amanat kepada anak perempuannya Nooryana Najwa supaya menjadikan Perlis sebagai lokasi pertama berkempen untuk membantu kemenangan BN dalam pilihan raya umum kali ini.

Kehadirannya di bilik gerakan BN DUN Pauh, Arau, hari ini, dilihat untuk menyuntik semangat kepada jentera parti.

"Semasa saya berjumpa Datuk Seri Najib beliau rasa kecewa dengan apa yang terjadi di Parlimen Arau. Beliau tak suka dengar berita perpecahan di dalam parti.

"Ingat ya Datuk Seri Najib dalam waktu kesusahan berdepan kes-kes mahkamah dan sekarang pun dalam penjara. Beliau tidak pernah membelakangkan parti dan sentiasa mempertahankan parti sebab beliau percaya apa yang kita nikmat semua ini adalah kerana parti.

"Kita dapat jawatan, jadi menteri, jadi menteri besar dan dapat bantu kawasan itu semua kerana parti," katanya dalam sidang media selepas pertemuan tertutup bersama jentera kawasan tersebut.

Hadir sama calon BN bagi DUN Pauh, Syed Atif Syed Abu Bakar.

Terdahulu, Parlimen Arau menjadi tumpuan selepas penyandang ahli parlimennya Shahidan Kassim tampil sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk mempertahankan kerusi itu selepas tidak dicalonkan oleh BN.

BN sebelum ini menamakan bekas ketua pemuda Umno Arau Rozabil Abd Rahman sebagai calon mereka sekaligus ditentang Shahidan.

Sementara itu, Nooryana Najwa berkata bapanya amat berharap supaya jentera BN bersatu padu dan memberi tumpuan sepenuhnya membantu kemenangan parti.

Katanya, Najib juga berbangga kerana BN menampilkan calon-calon muka baru daripada golongan profesional untuk memikat pengundi muda.

"Beliau berasa bangga kerana terdapat ramai juga calon yang terdiri daripada golongan profesional dan muka baru yang ditampilkan parti. Beliau rasa ini bagus untuk parti terutamanya untuk memikat hati pengundi muda.

"Pesanan Datuk Seri Najib supaya kita kerja keras dan membela nasib rakyat dengan sepenuhnya dan BN sajalah yang mampu memberi kestabilan kepada negara.

"Kita dah lihat selama empat tahun telah berlalu membazirkan masa dengan kerajaan yang lemah. Jadi kita kena adakan mandat yang besar dan kukuh, supaya kami boleh maju ke depan bagi menjamin masa depan yang cerah terutamanya kepada pengundi-pengundi muda kita," katanya.