Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon BN Kuala Krai terima 3,000 permohonan baik pulih rumah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Belum lagi bergelar wakil rakyat, calon BN bagi Parlimen Kuala Krai menerima hampir 3,000 permohonan untuk membaik pulih rumah daripada penduduk kampung.

Mohamed Zulkepli Omar, berkata permohonan itu diterima sejak empat hari lalu sebaik namanya diumumkan sebagai calon parlimen Kuala Krai.

Katanya, kebanyakan permohonan bagi membaik pulih atap rumah memandangkan sekarang ini musim hujan di Kelantan.

"Saya tidak menjangkakan permohonan begitu banyak dalam tempoh beberapa hari saja.

"Kebanyakannya untuk ganti atap zink dan selebihnya kerosakan dapur.

"Ada yang datang ke pejabat mengemukakan permohonan, ada juga yang mohon ketika bertemu waktu berkempen," katanya ketika ditemui media semasa berkempen di Kuala Krai, Kelantan hari ini.

Parlimen Kuala Krai akan menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Perkasa Bumiputera Malaysia (Putra).

Kerusi itu dimenangi PAS dalam PRU-14 lalu melalui calonnya Abdul Latiff Abdul Rahman.

Pada PRU lalu, Abdul Latiff menang kerusi berkenaan dengan majoriti 7,992 undi.

Dalam pada itu, Mohamed Zulkepli yang juga ketua Umno Kuala Krai berkata, sehingga kini dia telah menyelesaikan hampir 300 permohonan.

"Setakat ini saya sudah menyelesaikan hampir 300 permohonan dengan memberikan atap zink dan akan berusaha membantu sedaya mungkin sepanjang tempoh berkempen," katanya lagi.

Jelasnya permohonan yang diterimanya membabitkan kos dan jika diberi mandat dia akan memberi tumpuan isu baik pulih rumah selain Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasan itu.