Skip to main
Logo Malaysiakini

'Mula-mula rasa macam kamikaze tapi lega bila Noh tak dicalon'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerusi parlimen Tanjong Karang telah menjadi kubu kuat BN sejak pilihan raya pertamanya pada 1978, dengan Noh Omar memegang kerusi itu selama enam penggal berturut-turut.

Namun, kerusi itu bukanlah kubu yang tidak dapat ditembusi. Pada pilihan raya umum lepas Noh menang selepas mendapat 37 peratus undi, susut daripada 49 peratus pada PRU13, selepas beberapa daerah mengundi di bahagian selatan kawasan itu jatuh kepada Pakatan Harapan.

Apabila Noh digugurkan sebagai calon PRU15, calon Muda di Tanjong Karang, Siti Rahayu Baharin percaya ia mengubah keadaan menjadikan peluangnya lebih cerah.

Ini walaupun dia merasakan langkah Muda meletakkannya di Tanjong Karang sebelum itu macam "kamikaze" merujuk tindakan juruterbang Jepun yang berani ketika perang dunia kedua.

"Walaupun saya tidak mahu mengambil kesempatan atas kejatuhan orang lain, itu adalah realiti.

“Saya tidak menafikan bahawa (langkah BN menggantikan Noh) mungkin menyebabkan sedikit perpecahan undi, dan ia mungkin satu kelebihan kepada semua yang mengambil bahagian.

"Sekarang dengan Tan Sri Noh tidak bertanding, padang permainan mungkin lebih rata (bagi kami yang bersaing)," katanya kepada Malaysiakini semasa wawancara pada Ahad.

Rahayu diminta mengulas mengenai perselisihan dalam kalangan penyokong BN tempatan di Tanjong Karang berikutan keputusan pucuk pimpinan parti meletakkan Habibah Mohd Yusof sebagai calon dan bukannya Noh.

Bekas menteri kabinet itu pertama kali memenangi kerusi Tanjong Karang pada 1995 dan berjaya mempertahankannya sehingga pilihan raya umum 2018.

Namun, untuk PRU15 kali ini BN memutuskan untuk menggantikan Noh dengan Habibah, yang juga ketua Wanita Umno Tanjong Karang, keputusan yang tidak disenangi beberapa ahli parti akar umbi.

Sambutan hangat

Muda didaftarkan sebagai parti politik hanya pada tahun lepas dan membuat penampilan sulung pada pilihan raya umum ini. Muda sebelum ini menyertai pilihan raya negeri Johor awal tahun ini dan menang satu kerusi DUN.

Walaupun parti yang agak baru, kehadiran kali pertama Muda di Tanjong Karang disambut meriah oleh penduduk tempatan.

Semasa beberapa jejak kempen Rahayu di Tanjong Karang, ramai orang awam menyambutnya dengan senyuman.

Ini termasuk seorang warga emas berusia 60an di pasar malam pekan Tanjong Karang, yang bersorak untuk Rahayu dan jentera kempen Mudanya.

"Jangan risau, kami pasti akan menyokong anda," kata penjual baju itu.

Sebahagian daripada mereka percaya Muda, yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan mungkin ada sedikit peluang untuk memenangi kerusi Tanjong Karang.

"Ya, saya pernah mendengar tentang Muda. Saya rasa mungkin ada sedikit harapan (untuk Muda) kali ini," kata seorang pelajar berusia 23 tahun, yang hanya ingin dikenali sebagai Gunasundari.

Rahayu, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Ayu dalam kalangan penyokongnya, juga percaya bahawa menjadi orang luar tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pengundi untuk memilihnya sebagai ahli parlimen mereka.

Baginya, apa yang sepatutnya penting ialah perkhidmatan yang boleh ditawarkan oleh calon di kawasan itu.

"Saya faham kisah calon anak tempatan, dan saya tidak nafikan keperluan untuk mempunyai calon anak tempatan.

"Tetapi calon yang bagus akan tetap menjadi bagus tan mengira dia anak tempatan atau tidak, selagi mereka prihatin nasib rakyat," katanya.

Rahayu berasal dari Kedah dan kini menetap di Gombak. Dia meletak jawatan sebagai guru untuk memulakan inisiatif Buku Jalanan Chow Kit, sebuah NGO yang menyediakan peluang pendidikan kepada kanak-kanak terpinggir di kawasan Chow Kit di Kuala Lumpur.

Dia juga mengambil teladan daripada dua wakil rakyat Muda, Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalannya Amira Aisya Abdul Aziz, yang kedua-duanya berkhidmat di kawasan masing-masing walaupun bukan warga tempatan.

Walaupun Syed Saddiq bukan dari Muar, kata Rahayu orang ramai boleh melihat rekod prestasinya sebagai ahli parlimen di situ.

"Begitu juga Amira. Tengok bagaimana mereka berkhidmat. Kami bekerja dengan cara sedemikian. Akauntabiliti dan integriti semacam itu. Sebab kita nak bawa politik nilai, dasar dan khidmat," katanya lagi.

Pendidikan dan eko-pelancongan

Sementara itu, bercakap mengenai rancangannya untuk Tanjong Karang, Rahayu memberitahu Malaysiakini bahawa dia mempunyai senarai isu yang akan diberi tumpuan sekiranya dia diberi mandat untuk menjadi ahli parlimennya.

Mendahului senarai adalah pendidikan, yang disifatkan guru berusia 41 tahun itu sebagai aspek yang boleh dipertingkatkan demi masa depan rakyat yang lebih baik.

"Nelayan pesawah sini masih di takuk lama.

“Kajian perlu dibuat, dan kita juga perlu melihat isu keselamatan sosial untuk golongan ini. Negara telah menghadapi masalah keselamatan makanan, tetapi mengapa mereka tidak menjaga orang yang boleh menyediakan jaminan bekalan makanan?

"Saya tidak mengatakan pihak berkuasa tidak melakukan apa-apa. Tetapi tidak salah untuk kita melihat semula isu-isu ini. Kerana jika hendak dibandingkan dengan Thailand, petani kita di sini sudah jauh ketinggalan," katanya.

Menurut Rahayu, Tanjong Karang juga berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab ekopelancongan.

Berkongsi garis pantai yang sama dengan Sekinchan, sebuah destinasi ekopelancongan, calon itu berkata Tanjong Karang juga sepatutnya boleh menerokai pasaran itu.

Rahayu juga berjanji akan berusaha ke arah menambah baik infrastruktur Tanjong Karang dan sambungan internet.

Semua rancangan ini adalah bergantung kepada keputusan pada 19 Nov.

Lima hari berkempen, masih sukar baginya untuk menewaskan ahli politik berpengalaman dari BN, Habibah, calon PN yang tewas tipis pada PRU14 Zukafperi Hanapi, calon GTA Azlan Sani Zawawi dan calon bebas Mohd Rosni Mastail.

Jadi buat masa ini, tumpuan Rahayu adalah bagaimana untuk mengubah senyuman hangat Tanjong Karang itu menjadi undi.