Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pilih hijau atau biru, peniaga pasar malam tetap di situ juga'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mengangkat status Kuala Nerus kepada bandar raya menjadi antara misi utama calon PH di kerusi Parlimen itu, Suhaimi Hashim jika menang dalam PRU15.

"Misinya nak jadikan (Parlimen) Kuala Nerus ini lebih baik dan dengan bilangan penduduk yang kita ada melebihi 300 ribu orang, kita akan mohon supaya Kuala Nerus ini menjadi sebuah bandar raya.

"Sebabnya kita sudah ada pusat pentadbiran (di situ). Insya-Allah, setanding dengan Kuala Terengganu," katanya ketika ditemui di program tinjauan mesra bagi mendekati para peniaga dan pengunjung Pasar Malam Serdang di Kuala Terengganu, semalam.

Dia berkata satu-satunya penambahbaikan yang perlu dibuat adalah melibatkan beberapa jalan negeri yang sentiasa sesak, khususnya sewaktu musim perayaan.

"Antaranya kena betulkan balik susur keluar Plaza Tol Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu. Janganlah tiba-tiba keluar lebuh raya jalan jadi satu lorong.

"Jalan menjadi sesak setiap kali perayaan. Daripada Manir nak ke Losong (kira-kira lima kilometer) sampai dua jam, tak logiklah.

"Jadi, kita kena betulkan balik benda ini dan kita kena belanjakan (peruntukan) dengan betul, di tempat yang betul," katanya lagi.

Dia bakal berdepan penyandang, iaitu bekas pemimpin PAS Khairuddin Aman Razali yang bertanding di bawah tiket BN. Dua lagi calon yang turut bertanding adalah adalah Dr Alias Razak (PAS) dan Azaha Wahid (Pejuang).

Kata Suhaimi lagi, sudah tiba masanya kerajaan menggunakan peruntukan sedia ada bagi membolehkan penduduk di Terengganu menjana hasil pendapatan.

"Orang pilih Hijau (PAS) ke Biru (BN) ke, orang meniaga pasar malam tetap di pasar malam juga.

"Orang susah, tetap susah juga. Maknanya, rumah rakyat yang miskin, yang susah itu tetap begitu," katanya.

Dia turut membangkitkan masalah untuk memiliki kediaman yang menurutnya antara isu yang membelenggu penduduk Terengganu.

"Kita kena ingat, rumah rakyat ini rumah siapa kalau bukan rumah mak dengan ayah kita.

"Anak-anak belum ada rumah lagi, yang menumpang pun rasa susah dah, kalau kita sendiri tak ada rumah jangan ceritalah.

"Di Selangor kita buat dasar perumahan rakyat di zaman Muhammad Mohamad Taib, orang yang berhijrah dari Terengganu pun ada rumah flat disana,

"Kita juga mampu sediakan kalau kerajaan negeri ikhlas dan memang berniat untuk memberi perumahan kepada rakyat," katanya.

Dia berkata antara perkara yang boleh dilakukan kerajaan negeri adalah menyediakan tanah, yang menurutnya banyak di Terengganu, dengan harga berpatutan kepada penduduk, agar kos rumah yang dibina juga tidak menjadi besar.