Skip to main
Logo Malaysiakini

Amaran banjir kembali berbunyi, penduduk Sri Muda siap sedia selamatkan diri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas penggera banjir di Taman Sri Muda di Shah Alam dibunyikan pada jam enam patang Selasa lalu, Thilagawathy Maniam, 45, bersedia untuk meninggalkan rumah bersama-sama suami, tiga anak dan juga beg kecemasan mereka.

Beg itu berisi sijil-sijil dan dokumen penting, wang, pakaian dan barangan keperluan yang telah disediakan sejak Mac lalu.

Kali ini, dia tidak akan cuba membuat anggaran tahap serius banjir yang mungkin melanda, seperti yang dilakukannya pada tahun lalu.

"Kami kehilangan dua kereta kerana lambat bertindak, memikirkan air hanya akan naik di muka pintu dan kembali surut beberapa jam kemudian, seperti biasa.

"Tapi (ketika itu) paras air meningkat dengan cepat sehingga kami tak dapat memandu untuk beredar," kata Thilagawathy mengimbas kembali banjir buruk pada tahun lalu.

Mereka sekeluarga telah tinggal di situ sejak 22 tahun lalu.

Hari ini, katanya, semua jirannya juga telah bersedia dengan beg berisi barangan penting masing-masing.

Tanggal 18 Disember 2021, bermulanya antara krisis banjir terburuk di Taman Sri Muda dan banyak lagi tempat lain di Malaysia.

Keadaan banjir di Taman Sri Muda pada Disember 2021

Di Taman Sri Muda, air meningkat ke paras tiga meter dan tidak surut selama beberapa hari.

Thilagawathy dan keluarganya antara 32,044 mangsa yang ditempatkan di 162 pusat penempatan sementara (PPS) di sembilan daerah di Selangor.

Jam selama dua jam dua hari lalu merosakkan bahagian siling di anjung rumahnya dan menyebabkan ia bocor.

"Kami sudah sedia untuk tinggalkan rumah sehingga video di Facebook menunjukkan kunci air berfungsi," katanya lagi.

Projek pendalaman sungai RM7 juta

Adun Kota Kemuning V Ganabatirau memberitahu Malaysiakini bahawa sementara ban yang pecah pada Mac telah ditambah baik sepenuhnya pada Ogos lalu, penambahbaikan rumah pam untuk menangani jumlah air yang banyak hanya akan siap sepenuhnya pertengahan tahun depan.

Dia berkata kerajaan negeri juga telah memulakan projek untuk mendalamkan dan meluaskan Sungai Klang berjumlah RM7 juta dengan anggaran mengambil masa lima tahun.

Ganabatirau yang bertanding untuk kerusi Parlimen Klang pernah tinggal di Taman Sri Muda sejak 28 tahun lalu sehinggalah pada 2019.

Walaupun dia tidak dapat memberi jaminan banjir tidak akan berlaku di situ, projek tersebut akan meringankan masalah yang dihadapi penduduk di sana dan juga di Klang.

Pada Selasa lalu, polis Shah Alam membuka tempat letak kereta bertingkat di pasar Sri Muda di Seksyen 25 agar orang ramai dapat memindahkan kereta mereka di situ, bagi mengelakkan kerosakan jika banjir berlaku.

'Ditelan mati emak, diluah mati bapa'

Terdapat satu sepanduk di Bulatan Aman yang menawarkan bantuan kepada pemilik kenderaan yang ditenggelami banjir yang ingin menjual kenderaan mereka.

Ia adalah peringatan pahit kepada krisis yang meragut harta benda dan 25 nyawa di Selangor pada tahun lalu - angka korban tertinggi di Malaysia untuk tragedi itu.

S Ruben, 28, tinggal di Jalan Muhibbah di Shah Alam, yang menerima air dari Taman Sri Muda dan Batu 8 Shah Alam sebelum air tersebut masuk ke Sungai Klang yang dikawal oleh kunci air.

Ruben berkata dia tidak dapat pulang ke rumah selama enam bulan selepas banjir tahun lalu.

"Selepas membersihkan rumah dan membuang segala barang, saya dan ibu tinggal dengan saudara di Klang selama enam bulan, untuk pulih dari tragedi ini," katanya.

Kini Ruben kelihatan sedikit ceria ketika ditemui Malaysiakini.

Dia mengaku yang tidak akan meninggalkan bandar itu, walapun kegusaran kembali muncul ketika hujan lebat Selasa lalu.

"Taman Sri Muda ada kedai dan semua yang anda perlukan. Ia terletak di tengah dan senang untuk ke tempat lain di Lembah Klang, dengan Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Persekutuan," katanya.

Namun dia berkata ramai yang berpindah dengan ada yang meninggalkan rumah mereka begitu saja, membiarkan barang-barang yang rosak akibat banjir.

Isu banjir tak selesai, saling tuding jari

Sebelas bulan berlalu sejak tragedi banjir tahun lalu namun masih ada infrastruktur rosak yang tidak diperbaiki.

Semua longkang cetek yang membawa air keluar dari Bulatan Aman sama ada rosak, pecah atau tersumbat.

Calon BN Parlimen Kota Raja D Kajendran berkata masalah banjir di Klang dan Shah Alam tak selesai kerana pelbagai pihak saling menuding jari.

"Bila saya cakap dengan Ganabatirau, dia salahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Bila saya cakap dengan JPS, mereka salahkan Majlis Bandaraya Shah Alam.

"Bila BN menang di peringkat persekutuan dan negeri, kami akan selesaikan masalah ini," katanya yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya.

Kajendran berkata masalah itu tidak pernah diselesaikan sepanjang sepanjang 15 tahun Selangor di bawah PH.

Katanya lagi, dia ada bertemu Ganabatirau ketika banjir melanda akhir tahun lalu untuk membantu menguruskan keadaan, dan menurutnya isunya bukan sekadar menguruskan kutipan sampah tetapi mendidik orang ramai agar tidak membuang sampah merata-rata.

"Sama juga dengan menguruskan hujan lebat tengkujuh, ia bukan tanggungjawab JPS sahaja tetapi juga pihak berkuasa tempatan.

"Jadi, ini adalah satu usaha bersama dan kita harap dapat mencari penyelesaian bagi masalah banjir kilat ini," katanya lagi.

[Baca berita asal]