Calon BN: Mana peruntukan mitigasi banjir di Selangor?
PRU15 | Calon BN Klang, Tee Hooi Ling mempersoalkan ke mana peruntukan yang telah disalurkan oleh kerajaan persekutuan bagi projek mitigasi banjir di Selangor.
Menurutnya, ini kerana banjir kilat yang melanda Klang dan Shah Alam baru-baru ini menimbulkan persoalan apakah status terkini projek tersebut.
“Berapa perbelanjaan setakat ini daripada kerajaan negeri Pakatan dan lebih penting, adakah ia berkesan?” soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru katanya, untuk menunjukkan sikap bertanggungjawab dan ketelusan, kerajaan Selangor perlu memperincikan status terkini projek mitigasi banjir dan jumlah wang yang terlibat.
"Isu banjir telah lama melanda kawasan seperti Klang dan Shah Alam. Setahun lalu, rakyat Selangor mengalami banjir terburuk dalam tempoh 30 tahun, namun keadaan hari ini membayangkan masalah ini akan berterusan malah mungkin bertambah teruk jika cuaca buruk," katanya.
Dalam pada itu Tee turut membangkitkan isu 887 hektar tanah Hutan Simpan Bukit Lagong dibuka untuk aktiviti kuari.
“Sejak kebelakangan ini, banyak skandal membabitkan kerajaan Selangor turut tercetus, termasuk pembukaan kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong yang memusnahkan 887 hektar tanah hutan,” jelasnya.
Katanya, dengan kekurangan pokok untuk menahan air hujan dan menghentikan hakisan tanah, risiko banjir kilat dan tanah runtuh juga menjadi tinggi.
“Saya menggesa kerajaan negeri memberi jawapan yang jelas dan menerangkan apa yang telah dilakukan dan apa yang akan dilakukan untuk menangani banjir di Selangor.
“Jangan memandang rendah kemarahan pengundi terhadap kerajaan negeri yang menjanjikan perkara banyak tetapi tidak menepati janji,” tambahnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai