Skip to main
Logo Malaysiakini

Syed Saddiq isytihar aset bersih RM1.9 juta

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman telah mengisytiharkan RM 1,910,398.75 dalam aset bersihnya.

Calon parlimen Muar berusia 29 tahun itu mencapai angka ini selepas menolak RM909,267.83 liabiliti daripada jumlah aset bernilai RM2,819,666.58 setakat 30 Sept tahun ini.

Menjelaskan pecahan itu, Syed Saddiq berkata dia mempunyai simpanan RM45,239.89 dalam banknya dan RM1,247,783.53 dalam pelaburan - seperti simpanan tetap, unit amanah dan dana bersama.

Bekas menteri belia dan sukan itu juga mengisytiharkan bahawa dia tidak mempunyai barang kemas, bon atau sekuriti, lesen atau permit, dan akaun luar pesisir.

Syed Saddiq yang masih bujang berkata, dia mempunyai hartanah milik keluarga di Shah Alam bernilai RM720,284.32 yang dimiliki dan dibayar 50 peratus.

Dia mengisytiharkan unit kondominium yang belum siap di Kuala Lumpur yang dimilikinya 100 peratus bernilai RM880,000. Hutangnya bernilai RM649,267.83 berkaitan pinjaman perumahan untuk hartanah ini.

Hutang lain termasuk RM60,000 untuk rumah sewa di Petaling Jaya dan RM200,000 kepada Amanah Saham Nasional Berhad.

Syed Saddiq juga mengisytiharkan kucingnya, Tobi dan Meow Meow sebagai asetnya yang "tidak ternilai."

"Ini penting ya, bukan perkara baru kerana pada 2018, 2019 saya isytiharkan juga kucing ini.

"Kerana bila saya berkhidmat dalam kementerian apa-apa hadiah yang mungkin melangkaui RM500 perlu diisytiharkan.

"Kawan saya ada hadiahkan kucing, tidak tahu kucing itu harga berapa, jadi saya tulis sini "invalueble" kerana dia seperti anak saya," jelasnya.

Dia juga membayar RM757 secara ansuran bulanan bagi kereta milik abangnya, yang kerap digunakan Syed Saddiq, dan memiliki motosikal Yamaha NVX bernilai RM8,500.

Syed Saddiq ketika sidang medianya semalam menggesa ahli politik lain terutama bekas menteri supaya turut mengisytiharkan harta mereka.

Penyandang ahli parlimen Muar itu pemimpin Muda pertama mengisytiharkan hartanya kerana mewajibkan calon lain yang bertanding dalam parti berkenaan untuk melakukan perkara yang sama.

Ahli Muda lain yang bertanding pada PRU15 ialah Mutalib Uthman (Masjid Tanah), Danial Abdul Majeed (Kepala Batas), Siti Rahayu Baharin (Tanjong Karang), Lim Wei Jiet (Tanjung Piai) dan Shahrizal Denci (Kota Marudu).