Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Pilihan raya paling sukar diramalkan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ternyata paling sukar untuk diramalkan berkenaan gabungan parti politik mana yang akan menerajui kerajaan.

Ini kerana sejak empat tahun lalu, rakyat mempunyai pengalaman ditadbir tiga kerajaan daripada gabungan yang berbeza, semuanya dengan majoriti tipis dengan pencapaian masing-masing dilihat oleh majoriti rakyat jauh daripada memuaskan.

Apabila Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran parlimen pada 10 Okt, ramai penganalisis berkata pertandingan sebenar adalah antara tiga gabungan politik – Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Menurut kebanyakan penganalisis, BN dengan Umno sebagai penggerak utamanya, mempunyai kelebihan memenangi PRU15 walaupun dengan majoriti tipis.

Hujah bahawa BN sukar menang PRU15 kerana beberapa pemimpin Umno dicemari dengan tuduhan rasuah ternyata tidak tepat, dilihat daripada kemenangan besarnya dalam kedua-dua pilihan raya negeri Melaka dan Johor, walaupun rasuah dijadikan isu utama oleh lawan politiknya.

Ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat pada 20 Okt untuk mengumumkan hari penamaan calon dan pengundian, beberapa penganalisis berkata BN akan kalah sebelum pertempuran bermula kerana mengadakan pilihan raya semasa musim tengkujuh.

Kerajaan PN yang diketuai seorang perdana menteri Umno telah berkali-kali menegaskan, malah sebelum parlimen dibubarkan, yang dia senantiasa telah bersiap sedia menghadapi banjir dengan jaminan kepada rakyat dan mempunyai rancangan kukuh mengurangkan kesan buruk banjir besar sekiranya berlaku semasa PRU15.

Lebih-lebih lagi, rakyat kini telah dapat menerima betapa perlunya PRU15 diadakan walaupun pada musim banjir kerana mereka seakan-akan telah bertekad dengan paling penting adalah hak mereka bersuara melalui peti undi, walaupun dalam keadaan cuaca hujan atau cerah, bagi menamatkan kewujudan kerajaan dengan majoriti tipis.

Bagi mereka, cukup-cukuplah idea tiga kerajaan dengan majoriti tipis dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini kerana itu merupakan punca utama ketidakstabilan politik dan ekonomi di negara ini yang menyebabkan mereka begitu menderita.

Tambahan lagi, ahli politik pembangkang juga nampaknya kini telah dapat menerima hakikat ini dilihat dari sudut betapa sepinya suara mereka mengenainya terutama selepas mahkamah menolak saman mereka terhadap kerajaan kerana mengadakan PRU15 semasa musim banjir.

Sekarang ini, meskipun kita telah berada dalam musim tengkujuh, semua gabungan politik termasuk BN telah menggesa para penyokong dan juga mereka di atas pagar agar keluar beramai-ramai untuk mengundi.

Cogan kata parti bertanding

Dalam hal memilih kerajaan yang stabil dengan majoriti kukuh, Umno adalah parti politik pertama menggunakan gagasan tersebut dengan cemerlangnya melalui cogan kata semasa pilihan raya negeri Melaka dan Johor.

Ini jelas bergema dengan apa yang dimahukan pengundi, lantaran itu tidak hairanlah Umno/BN terus menggunakan frasa kata kunci “Kestabilan dan Kemakmuran” untuk cogan katanya pada PRU15.

Sementara itu, cogan kata PH “Kita Boleh” seakan terjemahan ke Bahasa Melayu daripada cogan kata pilihan raya bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dalam pilihan raya presiden 2008, “We Can!”

Keadaan ini juga agak serupa dengan cogan kata “Malaysia Boleh!” dikaitkan dengan pencapaian Malaysia semasa tempoh pertama Tun Mahathir Mohamad sebagai PM dari 1981 hingga 2003.

Berbeza dengan cogan kata BN yang terbukti keberkesanannya dalam menarik undi dalam kedua-dua pilihan raya negeri, hanya masa yang akan menentukan sama ada cogan kata PH akan mempunyai keberkesanan yang sama.

Tambahan lagi, masyarakat telah bosan dengan unsur “Boleh” dalam cogan kata itu sehingga mereka menyindir secara berseloroh tentang negara “Bolehland” dengan implikasi negatif apa-apa sahaja yang pelik boleh berlaku di Malaysia.

Namun begitu, cogan kata adalah komponen kecil kejayaan dalam PRU, malah keutamaannya adalah isu-isu yang menjadi keprihatinan penting dalam sanubari pengundi yang mendorong mereka untuk mengundi sesebuah gabungan yang menunjukkan empati kepada mereka dalam isu-isu ini.

Isu ekonomi, pengukuhan institusi

Dalam hal ini, terdapat dua isu yang sama penting. Isu pertama adalah isu ekonomi yang merangkumi isu keperluan asas seperti kos sara hidup, perumahan dan penjagaan kesihatan yang munasabah, membasmi kemiskinan mutlak dan relatif, meningkatkan perlindungan dan keselamatan sosial, dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi supaya setiap rakyat akan dapat menikmati kehidupan yang amat selesa seperti di sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Walaupun agak materialistik, ini adalah isu yang sangat penting kerana manusia dicipta sedemikian rupa sehingga perlu memenuhi keperluan materialnya terlebih dahulu sebelum dapat dengan berkesan dan cekap memenuhi keperluan bukan material atau idealismenya.

Isu kedua yang sama penting ialah isu abstrak dan pengukuhan institusi (idealisme) yang berkisar pada soal membanteras rasuah, menyemai tadbir urus yang baik, akses yang sama kepada peluang (ekuiti), kesamarataan dan keadilan sosial.

Isu ini juga sangat penting kerana pepatah menyatakan manusia tidak hidup hanya dengan suapan nasi.

Tetapi seperti yang dibuktikan pada PRU14 serta pilihan raya negeri Melaka dan Johor, kedua-dua isu ini mempunyai kesan yang berlainan pada masa yang berbeza kepada para pengundi.

Pada PRU14, isu-isu abstrak dan institusi menjadi penentu yang telah mencetuskan satu mercu tanda dalam bentuk kemenangan yang tidak dijangka untuk PH – kali pertama dalam sejarah Malaysia berlaku pertukaran rejim melalui peti undi.

Ini disebabkan isu 1MDB dan keangkuhan BN semasa berkuasa sejak 60 tahun lalu sebelum PRU14.

Dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor, isu-isu keperluan asas menjadi keutamaan pengundi, mengatasi isu-isu seperti membanteras rasuah dan tadbir urus yang baik antara lain.

Ini mungkin disebabkan negara ketika itu mengalami impak teruk pandemik Covid-19 apabila kesejahteraan material rakyat juga terjejas teruk, lantas menjadikan isu peningkatan kos sara hidup perkara paling utama dalam minda pengundi.

Satu lagi berkemungkinan rakyat dapat melihat apabila diberi peluang mentadbir negara, PH terbukti tidak kurang bezanya dengan BN.

Perkara itu tidak dapat menyelesaikan beberapa isu keperluan asas yang PH berjanji menyelesaikannya dalam manifesto PRU14, manakala kos sara hidup dan perumahan yang tinggi membentuk fenomena ekonomi yang kekal sebagai masalah utama.

Dari segi isu abstrak dan institusi pula – satu faktor penting dalam kemenangan PH – sebaik sahaja mereka berkuasa semua pertuduhan terhadap Lim Guan Eng telah digugurkan meskipun perbicaraan mahkamahnya sudah hampir berakhir.

Walaupun manifesto PH dengan jelas menyatakan pelantikan pegawai kanan kerajaan perlu dibuat dengan mendapatkan maklum balas jawatankuasa pilihan parlimen dan seorang ahli politik tidak boleh mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seorang perdana menteri PH dengan mudah melantik ahli politik sebagai ketua SPRM tanpa sebarang perbincangan dengan kabinetnya.

Tetapi semua ini bukan bermakna BN akan mempunyai laluan lancar menuju kemenangan mudah, walaupun dengan majoriti tipis seperti yang difikirkan kebanyakan penganalisis.

Ini mungkin benar sebelum presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan senarai calon.

Ketika mengumumkan senarai itu pada 1 Nov, beliau seakan-akan melakukan harakiri politik apabila ramai menteri Umno tiada dalam senarai tersebut.

Dengan berbuat demikian, Zahid telah membangkitkan semula perbalahan dalam Umno antara kluster mahkamah dengan kluster kabinet, yang pastinya akan melemahkan Umno/BN pada PRU15.

Pertelingkahan dalam Umno bukan sahaja akan memusnahkan Umno tetapi juga akan menyebabkan rakyat menderita jika Umno menerajui kerajaan, sama seperti rakyat menderita apabila kerajaan PH dimusnahkan dari dalam, atas perbalahan mengenai penyerahan jawatan perdana menteri oleh Mahathir kepada Anwar yang menjadi mukadimah kepada Langkah Sheraton.

Jadi nampaknya harapan Umno/BN menang PRU15 mula pudar, bahkan terdapat rungutan dalam kalangan ahli-ahlinya bahawa BN gagal mendapatkan sekurang-kurangnya 30 peratus calonnya daripada kaum wanita, seperti yang diikrarkan.

Tetapi ini semua tidak memudahkan ramalan tentang gabungan yang akan menang pilihan raya, menjadikan kerja para penganalisis dan pemerhati politik lebih sukar meramalkan gabungan mana yang akan menang.

PN mungkin menjadi kuda hitam (dark horse) PRU15 iaitu gabungan yang tidak dijangka menang tetapi akhirnya menang seperti pemimpinnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kuda hitam yang berjaya menjadi PM yang ke-8.

Cogan kata PN juga adalah tepat – ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ apabila kedua-dua isu keperluan asas serta isu idealisme diseimbangkan dan ditangani secara harmoni.


JAMARI MOHTAR ialah Editor Jom Sembang! sebuah buletin berita dalam talian mengenai hal ehwal semasa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.