Skip to main
Logo Malaysiakini

Azmin sedang menghitung hari, kata Saifuddin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15 l Rasa bersalah kerana mengkhianati mandat rakyat menerusi “Langkah Sheraton” menghantui Azmin Ali sehingga menyaksikan dirinya menyerang Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan melabelnya sebagai 'bapa pengkhianat'.

Bercakap kepada Malaysiakini, setiausaha agung parti itu Saifuddin Nasution berkata bahawa ini jelas ketika dia menilai semula kenyataan Azmin terhadap Anwar.

"Menilai kenyataan Azmin jelas selama ini dia dihantui rasa bersalah yang sangat menyiksa jiwanya.

"Saya yakin di hati kecilnya Azmin sedar perbuatan khianatnya itu tidak sepatutnya dia lakukan.

"Oleh demikian serangan Azmin yang dituju kepada Anwar sekadar percubaan membersih diri dari dicop pengkhianat bukan sahaja oleh anggota parti malah rakyat," katanya di Tambun, Perak, semalam.

Saifuddin mengulas kenyataan Azmin yang mendakwa Anwar sebagai “bapa pengkhianat” dan mengaitkan ketua pembangkang itu dengan “Langkah Kajang” dan “Langkah PD”.

Azmin mendakwa Langkah Kajang bertujuan mencatur Anwar sebagai menteri besar Selangor pada 2014 dan Langkah Port Dickson pula bagi mencapai cita-cita presiden PKR itu untuk menjadi perdana menteri.

"Bukankah itu pengkhianat? Beritahu saya. Abdul Khalid Ibrahim berada di pejabat (menteri besar) tetapi beliau telah dipecat dengan cara yang tidak demokratik," kata Azmin.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata bahawa Langkah Kajang dan Langkah PD jauh berbeza dengan Langkah Sheraton.

"Azmin belum dapat melepaskan diri dari stigma pengkhianat sehingga (terpaksa) mengungkit Langkah Kajang dan PRK Port Dickson.

"Baik Kajang atau Port Dickson, PKR menyerahkan kepada rakyat untuk buat keputusan dan rakyat memilih PKR dalam pilihan raya kecil Kajang dan Port Dickson.

"Jauh beza dengan Azmin yang khianat kerusi Gombak yang dimenangi atas tiket PKR dengan menyertai Bersatu," katanya.

Pada 2014, tindakan mengejut Adun Kajang Lee Chin Cheh yang mengosongkan kerusinya dilihat sebagai permulaan kontroversi Langkah Kajang.

Ia digembar-gemburkan sebagai rancangan PKR untuk menggantikan Khalid selaku menteri besar ketika itu dengan Anwar, yang sepatutnya diletakkan di kerusi DUN berkenaan.

Bagaimanapun, Anwar hilang kelayakan bertanding kerana disabitkan kesalahan meliwat. Dia kemudiannya digantikan oleh isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, Langkah Port Dickson berlaku kurang setahun selepas pilihan raya umum 2018. Anwar dibebaskan dari penjara setelah mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V.

Azmin menghitung hari

Dalam pada itu, Saifuddin berkata bahawa PRU 15 ini adalah pilihan raya yang bakal menghukum pengkhianat atau wakil rakyat yang pernah berpaling tadah dan menikam belakan..

"Isu pokok sekarang ialah bolehkah pengundi Gombak percaya bahawa Azmin tidak akan khianat sekali lagi?

"Jika dia sanggup khianat PKR parti yang didokong selama puluhan tahun, apa jaminan Azmin tidak akan khianati rakyat dan pengundi sekali lagi?

"PRU 15 adalah pilihan raya untuk menghukum pengkhianat dan Azmin tahu dirinya sedang menghitung hari sebelum dihukum oleh rakyat khususnya pengundi Gombak," katanya lagi.

Pada PRU15 pada 19 November ini, Azmin kekal bertanding di Gombak di bawah tiket PN. Anwar pula akan ke Parlimen Tambun untuk berdepan dengan Faizal Azumu yang mewakili Perikatan Nasional dari parti Bersatu yang juga mengkhianati Pakatan Harapan.