Skip to main
Logo Malaysiakini

Wee: Siasatan gangguan LRT teliti kemungkinan sabotaj

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Syarikat perunding bebas yang dilantik kerajaan untuk menyiasat punca gangguan sistem LRT turut meneliti kemungkinan ia satu tindakan sabotaj.

Menteri pengangkutan sementara Wee Ka Siong berkata ujian lanjut sedang dijalankan dan pengumuman akan dibuat pada pukul 6 petang esok jika perkhidmatan LRT beroperasi semula.

Pada sidang media di Kompleks Rapid Rail hari ini, Wee menjelaskan bahawa dengan penggantian modem dan bekalan kuasa untuk landasan yang sedia ada, isu itu telah diperbetulkan.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa ujian di rel terlibat masih diperlukan esok.

“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga perlu memperakui pengesahan pakar Thales Group bahawa landasan rel itu selamat dan stabil untuk digunakan sebelum kami boleh menyambung semula operasi,” katanya di Lembah Subang hari ini.

"Sekiranya tiada lagi masalah, kami akan menyambung semula perkhidmatan dengan Prasarana membuat pengumuman pada pukul 6 petang sehari sebelumnya," katanya.

Siasatan terhadap punca kerosakan sistem kawalan kereta api automatik (ATC) masih tidak dapat disimpulkan pada masa ini.

Prasarana Malaysia Berhad berkata ia meminta bantuan daripada Thales Group, yang merupakan pengilang asal peralatan itu, untuk kepakarannya bagi menyiasat isu itu.

Menurut menteri pengangkutan sementara itu, ujian yang berlangsung esok akan menyaksikan tren itu menjalankan perkhidmatan sepanjang hari penuh di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya.

Perkhidmatan untuk 16 stesen di laluan Kelana Jaya, perkhidmatan rel metro yang paling banyak digunakan di Malaysia, telah digantung kerana berlaku kerosakan pada sistem kawalan kereta api automatik.

Sistem ini mengawal komunikasi antara kereta api tanpa pemandu dan bilik kawalan, dan kerosakannya menimbulkan risiko keselamatan.

Perkhidmatan dari Kelana Jaya ke stesen Pasar Seni ditangguhkan sehingga 15 Nov.

Laluan Kelana Jaya, yang dibuka pada tahun 1998, adalah perkhidmatan kereta api metro yang paling banyak digunakan di negara ini, melayani 200,000 penumpang setiap hari.

Pampasan pas LRT

Wee juga mendedahkan bahawa syarikat kereta api itu boleh memberi pampasan kepada mereka yang terjejas akibat gangguan perkhidmatan LRT melalui lanjutan tempoh sah pas tren.

“Kita lihat tidak adil jika orang tidak boleh menggunakan (perkhidmatan tren LRT) selama seminggu tetapi masih perlu membayar. Tempoh sah laku akan dilanjutkan. Berapa lama… bergantung kepada pengurusan Prasarana.

"Saya dimaklumkan oleh Prasarana bahawa ia akan dilakukan," katanya hari ini, sambil menambah bahawa ini termasuk pas tanpa had My50.

Susulan insiden gangguan perkhidmatan LRT itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Amir Hamdan didesak meletak jawatan.

Ketika ditanya oleh Malaysiakini mengenai gesaan itu, Wee mengetepikan soalan itu dengan berkata: "Saya di sini hanya untuk menyelesaikan masalah. Bukan nak buat masalah. Pada saya, anda boleh bertanya kepada sesiapa yang menimbulkan persoalan ini. Saya di sini untuk bekerja untuk menyelesaikan masalah ini.”

Malaysiakini meminta untuk menjelaskan sama ada ini bermakna Prasarana tidak akan diambil tindakan berhubung gesaan peletakan jawatan itu.

“Saya kata saya hanya menjawab soalan berkaitan ini (sidang media),” jawab Wee.