Skip to main
Logo Malaysiakini

LRT tergendala, Insan wujudkan inisiatif kongsi kereta

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perkhidmatan sistem transit aliran ringan (LRT) yang tergendala sejak Rabu lalu mendorong pihak tertentu mewujudkan suatu inisiatif bagi membantu orang ramai yang terjejas.

Dikenali sebagai Initiative for Malaysian Humanitarian (Insan) ia membuka ruang kepada pengguna bergerak dengan lebih mudah dan berkesan melalui perkongsian kenderaan.

Menurut pengasas bersama Insan, Ahmad Tajuddin Abdullah, idea itu muncul ekoran masalah sama dihadapi oleh ahli kumpulan itu sendiri.

“Asalnya seorang daripada ahli kami 'tersangkut' ketika LRT tu tergendala, jadi (hasil perbincangan) kami dapat idea dengan mewujudkan semacam platform.

"Kalau ada sesiapa yang nak tawarkan ruang dalam kereta untuk dikongsi misalnya nak ke pejabat ataupun nak tumpang dari mana-mana stesen LRT berhampiran,” katanya.

Perkhidmatan LRT jajaran Kelana Jaya kini ditutup selama seminggu sehingga 15 Nov ini ekoran masalah yang dikatakan terburuk dialami sejak ia beroperasi pada 1998.

Sebanyak 16 stesen yang terlibat dengan kebanyakannya terletak dalam kawasan paling padat di Lembah Klang.

Boleh bantu orang lain

Stesen yang terlibat ialah Kelana Jaya, Taman Bahagia, Paramout, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

Menurut syarikat pengendali LRT terbabit, Rapid KL, stesen-stesen lain akan beroperasi seperti biasa namun perkhidmatannya ditamatkan pada jam 11 malam, iaitu sejam lebih awal.

Ahmad Tajuddin Abdullah

Menurut Ahmad Tajuddin perkhidmatan yang ditawarkan oleh Insan itu tertumpu kepada bantuan untuk pengguna LRT yang ingin ke tempat kerja, atau pulang ke rumah masing-masing.

“Kami fokus orang nak pergi kerja, waktu pagi dan petanglah.

"Contohnya saya ada kawan yang selama ni dia menggunakan LRT tapi tiba-tiba LRT tergendala dan dia terpaksa memandu kereta.

“Kemudian dia fikir kawan-kawan sepejabat pun ramai yang ada masalah macam tu.

"Jadi apabila dia menggunakan kereta (untuk berulang-alik ke pejabat), dia boleh tumpangkan orang lain di sepanjang perjalanan dia," katanya.

Menurut Ahmad Tajuddin lagi, setakat ini hanya ada seorang sahaja pemandu yang menjalankan perkhidmatan tersebut.

Sementara itu, menurut portal Insan, laluan yang tersedia setakat ini membabitkan LRT Kerinchi, Putra Heights, Taipan, USJ 21, USJ 7 dan Wawasan antara jam 9.45 pagi hingga 10.45 pagi, dan 8.30 malam hingga 9.45 malam.

Insan merupakan sebuah NGO yang dibangunkan kebanyakannya oleh bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia dengan memberi tumpuan kepada pembangunan negara dan sosial di Malaysia.

Insan turut menggerakkan inisiatif bantuan makanan kepada golongan tidak berkemampuan dan kurang bernasib baik.