Skip to main
Logo Malaysiakini

Ikmal optimis pertahan kerusi Tanah Merah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyandang kerusi parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz melihat peluangnya untuk mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) agak cerah meskipun kini bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Ikmal yang telah memenangi kerusi berkenaan selama dua penggal melalui BN, bagaimanapun tidak memandang mudah keupayaan pencabarnya.

Katanya, keyakinan itu bersandarkan sokongan yang ditunjukkan pengundi ketika jentera parti turun berkempen.

"Saya tidaklah terlampau yakin, namun berdasarkan sambungan yang ditunjukkan kepada saya, sokongan kepada saya, insya-Allah 19 Nov ini saya berjaya.

"Namun, saya tidak ambil mudah kerana dalam hidup ini, hari ini kita okey, esok tak tentu lagi, jadi saya mahu pastikan momentum yang ada ini berterusan," katanya berkempen di sekitar Pasar Tani, Tanah Merah, Kelantan hari ini.

Ketika berkempen Ikmal bertembung dengan calon BN Tanah Merah, Mohd Bakri Mustapa yang turut berkempen di pasar tani berkenaan.

Ikmal yang juga bekas ketua Umno Tanah Merah dilihat berpeluk dan beramah mesra dengan calon BN yang merupakan kawannya.

Orang ramai yang berkujung ke pasar tani tidak melepaskan peluang merakam gambar dua calon terbabit.

Ikmal Hisham yang dilantik sebagai timbalan menteri pertahanan memenangi kerusi Parlimen Tanah Merah menang dengan majoriti 2,929 undi pada PRU-14 lalu atas tiket BN.

Dia menewaskan calon PAS, Johari Mat dan PH, Mohamad Fauzi Zakaria.

Mengulas lanjut, Ikmal Hisham berkata dia mahu meninggalkan legasi terbaik di Tanah Merah untuk manfaat masyarakat.

“Niat saya tiada lain melainkan meninggalkan legasi terbaik di Tanah Merah dimana saya dilihat sudah berjaya membawa kemajuan dan pembangunan di Tanah Merah.

“Kita mahu rakyat di Tanah Merah mendapat kehidupan lebih baik dan sekiranya terus diberi mandat, saya akan melakukan dengan lebih baik,” katanya.