Rafizi minta pemimpin, penyokong PH dalami sensitiviti Melayu
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli meminta pemimpin, penyokong dan pengundi PH agar mendalami sensitiviti orang Melayu.
Rafizi berkata ia adalah disiplin yang diperlukan untuk meningkatkan prospek kejayaan PH dalam PRU15.
Menurutnya, walaupun jumlah kalangan yang kurang sensitif ini tidak ramai, tetapi kenyataan mereka boleh dibesar-besarkan oleh Umno, PAS dan Bersatu untuk memainkan isu perkauman dan menutup kelemahan pentadbiran dan amalan rasuah yang berlaku.
"Ia satu kerugian besar kepada rakyat dan negara kerana akibat nila setitik rosak susu sebelanga," katanya menerusi video yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.
Justeru, dia yang bertanding di kerusi Parlimen Pandan menggesa agar mereka mengelakkan isu-isu perkauman.
"Kita perlu terima hakikat bahawa pengundi Melayu kadang-kadang takut untuk mengundi PH kerana beberapa tindakan segelintir dari kalangan PH yang tidak sensitif kepada perasaan orang Melayu," katanya.
Dia berkata, orang bukan Melayu sebaiknya tidak menyerang peribadi pemimpin Melayu dari pihak lawan, terutama jika pemimpin itu memiliki latar belakang agama.
"Itu sensitif kerana boleh diputar belit seperti bukan Islam menghina orang Islam.
"Biar kami yang Islam ini yang jawab dan dedahkan mereka," katanya.
Selain itu, dia turut menggesa pemimpin dan penyokong PH untuk mengelak isu yang dianggap sebagai institusi Melayu, seperti raja berperlembagaan, bahasa kebangsaan dan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.
"Kepada sahabat-sahabat bukan Melayu, percayalah bahawa kami yang Melayu akan melawan mereka yang menyalahgunakan kuasa yang ada dalam Umno, Bersatu dan PAS. Kami bukan jenis yang bersembunyi di sebalik nama agenda Melayu untuk merosakkan negara," katanya lagi.
Sering ditanya tentang Melayu
Rafizi berkata dia sering ditanya oleh orang bukan Melayu yang ingin memahami pandangan orang Melayu berkenaan rasuah, kegagalan pentadbiran dan menteri-menteri Melayu yang tidak menunjukkan pencapaian yang baik.
"Ada yang berpandangan orang melayu tidak kisah mengenai rasuah. Ada yang lebih teruk, mereka kata pengundi melayu boleh dibeli dengan sogokan RM50," katanya.
Dia berkata apa yang diinginkan orang Melayu dari PH adalah pemimpin yang jujur, cekap mentadbir dan memiliki idea untuk menyelesaikan masalah, tetapi pada masa sama tegas memberi teguran jika ada pihak yang dilihat kurang sensitif terhadap perasaan orang Melayu.
"Mungkin ada yang di dalam PH yang tidak selesa dengan kelantangan saya, tetapi saya anak Melayu dari kampung di Terengganu. Saya juga faham sensitiviti pengundi Melayu.
"Sama-sama kita kekalkan keharmonian dan saling hormat menghormati setiap saudara pelbagai kaum dalam negara kita. Bersama-sama kita mematikan anasir perkauman yang dibawa Umno, PAS dan Bersatu," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai