Sertai PBM, lepas jawatan menteri: Saya ingin hidup bermaruah - Zuraida
WAWANCARA | Apabila membuat keputusan untuk meninggalkan Bersatu dan memimpin parti lain, Zuraida Kamaruddin berkata, dia sudah bersedia untuk menyerahkan semula jawatannya sebagai menteri kepada Ismail Sabri Yaakob.
Kata bekas naib presiden PKR itu, hal tersebut dimaklumkannya sendiri kepada naib presiden Umno yang dilantik menjadi perdana menteri menggantikan Muhyiddin Yassin.
Menurut Zuraida dia tidak keberatan kembali menjadi ahli parlimen biasa tanpa status menteri kerana jawatan bukanlah sesuatu yang dikejarnya.
“Bila saya nak umum (keluar Bersatu) saya jumpa PM (Ismail Sabri) untuk masuk PBM (Parti Bangsa Malaysia), dan saya akan serahkan jawatan balik kepada PM because I want to live on high moral ground (kerana saya mahu hidup secara bermaruah).
“Saya tak ‘hadap’ (mengharap) jawatan... saya tak kisah jawatan menteri, saya cuma peduli tentang pengikut dan akar umbi saya,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini.
Zuraida merupakan penyandang kerusi parlimen Ampang yang menjadi antara 10 ahli parlimen PKR yang berpaling tadah meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu pada akhir Feb 2020.
Dikenali sebagai Langkah Sheraton, tindakan Zuraida bersama sembilan lagi ahli parlimen PKR menyaksikan PH - yang mendapat mandat daripada pengundi untuk menjadi kerajaan pada 2018 - dijatuhkan di luar pilihan raya.
Pada 26 Mei lalu dia mengumumkan keputusannya meninggalkan Bersatu dan menyertai PBM tidak lama kemudian.
Maklumkan kepada Muhyiddin
Pada 19 Jun, Zuraida dilaporkan berkata, dia berharap jawatannya sebagai menteri dapat dikekalkan bagi membolehkan kementerian itu menyelesaikan pelbagai perancangan yang telah diatur sebelum itu.
Langkah Zuraida meninggalkan Bersatu mendorong Muhyiddin - selaku presiden parti berkenaan - mendesak agar Ismail Sabri menggugurkan Zuraida dan menyerahkan jawatan menteri perusahaan perladangan dan komoditi kepada ahli parlimen lain.
Bagaimanapun sehingga parlimen dibubarkan, Ismail Sabri mengekalkan Zuraida sebagai menteri.
Ditanya mengapa dia keluar Bersatu dan menyertai PBM, penyandang kerusi Ampang selama tiga penggal itu berkata parti pimpinan Muhyiddin itu tidak menggunakan kekuatannya sebagai bekas naib presiden PKR sebaik mungkin.
Selain itu, kata Zuraida, dia juga bimbang terhadap masa depan politik golongan belia yang menyokongnya.
Menyorot kisah penubuhan PBM, Zuraida yang digelar "Ibu Bangsa Malaysia" itu berkata, pada mulanya dia bertemu dengan Muhyiddin untuk menyatakan hasrat menubuhkan parti berbilang kaum.
Hal itu kerana dia melihat Bersatu adalah parti berasaskan Melayu, berbeza dengan PBM yang pelbagai bangsa dan memperkasakan wanita.
“Saya sebut kepada Muhyiddin, macam sebuah syarikat kalau dah besar dia buka subsidiary… jadi please look at me like your subsidiary party (tolong lihat saya seperti parti susidiari),” katanya yang turut meminta agar bekas perdana menteri itu dapat memberikan nilai tambah kepada PBM.
Bagaimanapun, kata Zuraida, presiden Bersatu itu meminta dia meneruskan niatnya dengan parti baru dan memaklumkan jawatan sebagai menteri akan ditarik balik kerana ia merupakan kuota Bersatu.
“Kemudian saya biarkan begitu dan jumpa PM Ismail Sabri untuk menyatakan bahawa saya nak tubuh parti ini (PBM).
"Tapi dia (Ismail Sabri) kata: ‘Zuraida, don’t do it first, kasi Larry Sng jadi presiden dulu. You tunggu dulu (Zuraida, jangan buat dulu, biarkan Larry Sng jadi presiden PBM dulu," katanya.
Dakwa Zuraida, Ismail Sabri ketika itu sedang mendapat tekanan daripada Muhyiddin untuk menggugurkannya dari kabinet.
Pada masa sama, tambah Zuraida, Ismail Sabri enggan berbuat demikian, justeru meminta agar dia menunggu buat sementara waktu.
Zuraida juga memaklumkan Ismail Sabri keberatan untuk menggantikan jawatan tersebut kerana ia merupakan proses yang sukar untuk mencari pengganti baru.
“Dia (Ismail Sabri) kata susah kalau kita ambil menteri baru. Menteri baru lambat nak belajar, akan menjejaskan kerajaan,” katanya.
Namun menurut Zuraida, dia tidak boleh menunggu lebih lama kerana mendakwa parti barunya itu memerlukan kepimpinannya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai