Azmin lawan Amir: Apa kata orang Gombak?
Menurut pesaingnya, masa depan politik calon PN Gombak, Mohamed Azmin Ali 'malap' di kawasan bandar, yang mengundinya sebagai ahli parlimen PKR tetapi menyaksikan dia mengetuai langkah wakil rakyat parti itu meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan.
KiniTV meninjau pendapat pengundi Gombak dalam jejak kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Ada pengundi yang membangkitkan pengkhianatan itu tidak boleh dimaafkan manakala yang lain mengatakan isu berkenaan tidak penting dalam mempengaruhi undi mereka.
"Itu pengkhianat atas dasar parti, dia tidak mengkhianati rakyat, maksudnya pengundi dia," kata peniaga Suhaimi Mustafa.
Dia berkata walaupun Azmin telah meninggalkan PKR, wakil rakyat itu tetap berkhidmat di Gombak sebagaimana yang dilakukannya sebelum bertukar parti.
"Dia melompatpun ada sebab. Kalau dah kita duduk dalam satu rumah, kalau kita dah tidak bersetuju, kita kena keluar dari rumah tu.
"Takkan kita nak bergaduh hari-hari lebih baik kita keluar. Ibarat macam itu.
"Sebab kita tengok mana ada yang tak khianat dalam politik. Hari ni dia berkawan dengan orang ni, besok dia berkawan dengan yang lain pula," katanya.
Usahawan Sazali Ismail berkongsi pandangan sama, berkata undinya kekal dengan Azmin kerana sering melihat ahli parlimen tiga penggal itu turun padang.
"Dia berikhtiar untuk mendapatkan bantuan untuk sekolah, itu saya nampak prestasi dia amat berjayalah.
"Saya doakan semoga Azmin berjayalah memenangi kawasan gombak," katanya.
Bagi Ramli Yassin pula, tidak kira berapa banyak parti yang Azmin lompat, dia akan terus memilih bekas menteri besar Selangor itu.
Ini kerana prestasi calon di lapangan lebih penting daripada parti.
"Masalah tukar parti no problem, tak ada apa-apa disadvantage - he's the best.
"Apapun parti dia masuk, tidak kira, parti, parti, parti...walaupun sepuluh parti.
“Apa parti yang dia duduk, dia terbaik," katanya yang bekerja sendiri.
KiniTV bercakap dengan dua belas pengundi dalam laporan ini, enam berkata mereka akan mengundi Azmin manakala enam lagi akan memberikan undinya kepada calon Pakatan Harapan (PH) dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Kebanyakan mereka yang menyatakan akan mengundi Amirudin berkata mereka mahu berbuat demikian kerana mereka kecewa dengan pengkhianatan Azmin.
Mereka berkata telah mengundi Azmin sebagai wakil rakyat PKR untuk menerajui pertukaran kerajaan pada PRU14 tetapi terkejut melihat dia berpaling tadah kemudian.
"Dia bangkitpun daripada Parti Keadilan (PKR), daripada gerakan reformasi. Kami yang menyokong dia...
"Saya sangat-sangat terperanjat dan dukacitalah. Orang yang kita harap mewakili kawasan kita ni lompat ke pihak lawan, menentang dan memburuk-burukkan PKR.
“Saya terus terang kecewa. Kami memang mengharapkan anak murid (Azmin) menang dalam perlawanan menentang gurunya yang saya rasa langkahnya sudah lama silap," kata peniaga Abdul Jalil.
Begitu juga beberapa pengundi lain yang ditemu bual berkata mereka mahu menghukum Azmin kerana memainkan peranan besar dalam menggulingkan kerajaan PH.
Walaupun ada yang mengakui khidmat Azmin di kawasan itu namun mereka berkata akan tetap mengundi calon PH untuk mengembalikan mandat PRU14 yang dirampas kepada gabungan itu.
‘Undi PAS pergi ke Azmin’
"Ramai orang yang masih percaya Azmin jika dia bersama Pakatan Harapan," kata seorang pekerja restoran yang hanya ingin dikenali sebagai Terry.
Pun begitu, Azmin dilihat mempunyai kelebihan kepada Amirudin dalam bentuk rakan kerjasama PN, PAS.
Pada 2018, PAS memperoleh 12 peratus undi dan sokongan itu mungkin akan pergi kepada Azmin.
Pada 2018, Gombak terdiri daripada 77 peratus pengundi Melayu, 11 peratus Cina, 11 peratus India dan dua peratus etnik lain.
Walaupun sentimen di lapangan kelihatan berpecah sama rata, kempen oleh PH dan BN untuk memenangkan pengundi di Gombak tidaklah hangat seperti yang diharapkan.
Pada minggu terakhir kempen, Azmin sedang dalam jelajah ke seluruh negara untuk menyokong calon PN di negeri lain manakala Amirudin pula sibuk memastikan agensi Selangor kali ini bersedia menghadapi banjir yang bakal melanda.
Ini mungkin memberi ruang kepada Megat Zulkarnain Omardin dari BN untuk cuba mendapatkan semula sebahagian daripada sokongan yang hilang pada 2018.
BN menang 18.7 peratus undi pada PRU14, untuk menduduki tempat kedua dalam perebutan tiga penjuru.
Sebelum ini, Megat Zulkarnain (gambar, atas) memberitahu Malaysiakini, beberapa penyokong tradisional BN yang menyokong Azmin pada 2018 terpengaruh dengan kehadiran Dr Mahathir Mohamad.
Ketika PRU14, Dr Mahathir yang juga bekas pengerusi BN paling lama turun berkempen bersama PH.
Dengan Mahathir kini bukan lagi sekutu PH, Megat Zulkarnain berharap sebahagian daripada pengundi Azmin 2018 boleh kembali kepada BN.
Bagaimanapun, ini masih menjadi cabaran dengan Gerakan Tanah Air pimpinan Mahathir meletakkan calonnya sendiri, Aziz Jamaludin Mohd Tahir.
Turut bertanding ialah calon bebas Zulkifli Ahmad.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai