Calon BN Tebrau sempat main badminton dengan Chong Wei
Calon BN bagi kerusi Parlimen Tebrau, Nicole Wong sempat beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan legenda badminton negara, Lee Chong Wei, di sebuah kejohanan badminton di Johor Bahru hari ini.
Menurut The Star, mereka menghabiskan kira-kira satu setengah jam untuk bermain badminton dan bertemu dengan kira-kira 200 hadirin di acara Tebrau Cup Tournament pagi tadi.
"Saya berpeluang bertemu ramai peminat badminton di Tebrau yang datang untuk menyertai pertandingan ini. Pada masa sama, kita juga ambil kesempatan ini untuk bertemu dengan Lee Chong Wei," kata Wong ketika berkongsi tentang acara itu di Facebook.
Wong membangkitkan peranan sukan, termasuk badminton, dalam menyatukan pelbagai kaum di Malaysia.
"Seperti masa kita menonton pemain Malaysia dalam pertandingan badminton antarabangsa bersama-sama di restoran mamak, kita mengetepikan perbezaan kaum dan sama-sama menjerit 'Malaysia boleh'.
"Saya berharap semangat kesukanan ini dapat diaplikasikan dalam politik, bahawa kita semua bekerja keras untuk matlamat yang sama iaitu demi masa depan yang cerah untuk negara kita," katanya lagi.
Pada PRU 2013, Wong bertanding di kerusi Parlimen Seputeh namun tewas dengan jurang undi yang besar di tangan Teresa Kok dari DAP.
Kali ini, dia dicalonkan di kerusi Parlimen Tebrau dan akan berdepan Jimmy Puah dari PH dan Mohamad Isa Mohamad Basir dari PN.
Pada PRU lalu, PH menerusi calonnya Steven Choong dari PKR menang di situ dengan majoriti 37,225 undi.
Namun Pada 4 November lalu, aitu sehari sebelum penamaan calon, Choong yang kini merupakan ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengumumkan dia tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai