SPRM sedia semak tuduhan Rafizi
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menerima sebarang laporan berhubung pendedahan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion.
Pun begitu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya sedia membuat semakan mengenai dakwaan Rafizi itu.
“Setakat ini saya tidak menerima laporan namun apa yang disebut kita ambil perhatian kerana segala maklumat yang diberikan kepada orang ramai, laporan secara bersemuka atau mana-mana media, kita akan ambil maklum.
“Sekiranya dakwaan berkenaan berasas, kita akan buka siasatan lanjut," katanya kepada media di Kota Bharu hari ini.
Azam berkata demikian selepas Majlis Pengurniaan Kehormatan Kelantan Sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan V yang ke-53.
"Setakat ini kita tunggu dan lihat serta kita semak terlebih dulu," katanya lagi.
Rafizi sebelum ini mendakwa Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) yang diterajui Tuan Ibrahim Tuan Man dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat milik individu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno.
Timbalan presiden PKR itu mendakwa dimaklumkan sumber kerajaan bahawa usaha meluluskan segera projek itu bawah pentadbiran kerajaan sementara sebagai timbal balas selepas menerima dana PRU15.
Tuan Ibrahim beri masa tujuh hari
Dia menuntut Tuan Ibrahim menjawab dakwaan itu dan memberi jaminan tidak akan meluluskan sebarang projek dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara kerana ia bertentangan dengan pekeliling perbendaharaan.
Semalam, menteri alam sekitar dan air itu memberikan tempoh tujuh hari kepada Rafizi untuk memohon maaf dan mencadangkan jumlah ganti rugi kepadanya atau berdepan tindakan undang-undang.
Timbalan presiden PAS itu berkata Rafizi memfitnahnya dalam isu kontrak tebatan banjir Kasa bernilai RM2 bilion itu.
Ditanya sama ada SPRM akan memanggil Rafizi untuk mengambil keterangan atau tidak, Azam berkata perkara itu belum diputuskan lagi dan pihaknya mengalu-alukan Rafizi untuk mengemukakan maklumat.
"Kita mengalu-alukan Rafizi atau mana-mana pihak untuk tampil mentalurkan maklumat kerana kita terbuka dan ini adalah tugas kami.
"Sekiranya ada asas untuk menjalankan siasatan, kita akan buat,” tambahnya.
Sementara itu, Tuan Ibrahim menyatakan kesediaan untuk disiasat dan dipanggil SPRM berhubung dakwaan itu.
Katanya, tiada apa yang perlu disembunyikan kerana jelas dakwaan Rafizi bersifat tohmahan terhadapnya.
“Jika SPRM panggil saya untuk ambil keterangan pada waktu pagi, pagi itu juga saya sampai dan tidak akan tangguh-tangguh.
“Saya tidak ada masalah sebaliknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kerana tiada apa yang perlu disorok atau disembunyikan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai