Skip to main
Logo Malaysiakini

Krisis iklim: 'Jika karbon terus meningkat, 9 tahun lagi suhu lepasi 1.5C'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL | Pelepasan gas rumah hijau karbon dioksida (CO2) meningkat begitu pantas, dan jika tidak dikekang maka dunia berdepan risiko sebanyak 50 peratus untuk melanggar paras ambang kenaikan suhu 1.5C dalam tempoh sembilan tahun, kata para saintis.

Laporan Projek Karbon Global (GCP) yang dilancarkan pada sidang alam sekitar COP27 PBB yang sedang berlangsung di pusat peranginan Sharm el-Sheikh, Mesir mengatakan kenaikan suhu itu akan memberi kesan besar terhadap negara miskin dan membangun.

Purata suhu dunia kini 1.1 Celcius melebihi paras sebelum zaman perindustrian dan peningkatan itu telah menyebabkan bencana iklim besar tahun ini, kata laporan itu lagi.

Para penyelidik berkata pelepasan karbon meningkat pada 2022 kerana peningkatan dalam penerbangan selepas wabak Covid-19 mereda dan penggunaan arang batu untuk tenaga.

Laporan GCP disediakan oleh lebih 70 saintis menggunakan data tenaga bulanan untuk menganggarkan bahawa pelepasan gas rumah hijau global akan meningkat sebanyak satu peratus tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, penyelidik sains dan dasar iklim di Imperial College London dipetik BBC berkata: "Laporan itu mengingatkan perunding di COP27 bahawa tindakan mereka setakat ini tidak mencukupi."

Sekiranya suhu purata global meningkat lebih daripada 1.5C, PBB berkata ia akan mendedahkan berjuta-juta orang kepada kesan perubahan iklim akibat kegiatan manusia, yang berpotensi memusnahkan.

Laporan GCP ini membimbangkan, apatah lagi PBB baru-baru ini berkata pelepasan karbon global perlu turun sebanyak 45 peratus menjelang 2030 bagi mengekalkan suhu dunia di bawah 1.5C.

Negara-negara bersetuju pada 2015 untuk mencapai matlamat mengekang suhu dunia supaya tidak melepas paras 1.5C di atas suhu sebelum zaman perindustrian.

Badan iklim PBB, IPCC berkata mengekalkan suhu di bawah paras 1.5C itu amat penting, berbanding bawah 2C.

Menurut IPCC, jika dunia dapat mengekang kenaikan di atas 1.5C ini antaranya bermakna sekitar 10 juta orang dapat diselamatkan daripada kehilangan tempat tinggal akibat kenaikan paras laut; kurang 50 peratus penduduk dunia yang akan menghadapi masalah bekalan air; serta pengurangan kehilangan terumbu karang daripada 90 peratus kepada 70 peratus.


BACA BERKAITAN:

PANDUANKINI | Kenapa perlu isytihar darurat iklim?

Malapetaka iklim: 'Dunia sedang memecut ke neraka' - PBB

COP27: Siapa patut bayar ganti rugi bencana iklim