Skip to main
Logo Malaysiakini

Abang calon Amanah, adik calon PAS tapi ukhwah terpelihara

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perbezaan pegangan politik antara anggota keluarga bukanlah asing dalam kancah politik termasuk di Malaysia.

Dalam PRU ke-15 kali ini, persaingan antara adik-beradik yang berbeza pegangan politik sekali lagi menjadi bukti bahawa proses demokrasi perlu diraikan tanpa menjadi asbab retaknya hubungan kekeluargaan.

Di Parlimen Padang Besar, Pakatan Harapan (PH) menampilkan seorang pesara tentera bernama Mohamad Yahaya sebagai usaha mereka memenangi kerusi Dewan Rakyat.

Pada masa sama adik Mohamad, Ahmad, menjadi pecaturan PAS dan PN untuk kawasan parlimen Pokok Sena.

Ahmad pula merupakan salah seorang pemimpin terkanan dalam parti berdasarkan jawatannya sebagai ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Dia juga diberi amanah sebagai pesuruhjaya PAS untuk Kedah.

Mohamad, 58, ketika dihubungi Malaysiakini berkata, walaupun berbeza parti dia dan adiknya kekal dengan sikap saling hormat-menghormati pilihan masing-masing.

"Alhamdulillah kami berdua menjaga ukhwah sebagai adik-beradik dan hubungan kekeluargaan antara kami dan adik-beradik yang lain juga.

"Dia menghormati saya sebagai abang, saya juga hormat dia sebagai adik bongsu dan pilihannya berjuang bersama PAS," katanya.

Tersimpang dari perjuangan dulu

Amanah merupakan parti yang diasaskan oleh sekumpulan bekas pemimpin PAS yang disingkirkan ketika parti terbabit mengalami krisis dalaman dan mencapai kemuncaknya pada 2015.

Justeru persaingan kedua-dua parti menjadi begitu sengit dan PAS menganggap Amanah adalah salah satu musuh utama mereka.

Pun begitu di antara Mohamad dan Ahmad, mereka kekal bersaudara, malah tiada sebarang masalah wujud ekoran pilihan politik masing-masing.

"Memilih parti itu hak masing-masing," kata Mohamad yang kini sibuk dengan jadualnya ketika tempoh berkempen memasuki minggu terakhir sebelum tibanya hari pengundian pada 19 Nov ini.

Di Padang Besar, Mohamad akan berdepan dengan cabaran empat calon parti lawan iaitu Zahida Zarik Khan (BN); Rushdan Rusmi (PN); Ko Chu Liang (Warisan); dan penyandang kerusi itu Zahidi Ainul Abidin (bebas).

Ahmad pula berdepan saingan sengit apabila cuba mengetepikan penyandang kerusi parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar yang juga naib presiden Amanah. BN pula menampilkan muka baru, Noran Zamini Jamaluddin, selain dan calon Warisan, Noraini Md Salleh.

Mohamad yang juga anak kedua daripada lima beradik itu berkata, sebelum ini dia juga merupakan pendukung PAS namun meninggalkan parti itu untuk kerana tidak bersetuju dengan pendekatan diambil mereka.

"Saya sebelum ini pun dalam PAS juga, tapi selepas ketiadaan Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (bekas mursyidul am) saya lihat PAS sudah tersimpang dari perjuangan sebelum ini.

"Apabila Amanah ditubuhkan saya memilih untuk bersama Amanah, manakala Ahmad terus bersama PAS. Jadi kami memilih wadah politik berbeza.

"Adik-beradik lain dan anak-anak saudara juga menyatakan sokongan kepada saya dan Ahmad yang kebetulan bertanding serentak kali ini.

"Alhamdulillah keluarga sama-sama sokong kami," jelasnya yang kini menetap di Padang Besar.