Ingatkan Godzila, chor - PN 'menganjing' papan iklan Anwar
Hanya sehari selepas pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim memasang poster gergasi memaparkan dirinya di sekitar kawasan DUN Tambun, sepanduk besar dengan frasa “size does not matter” (saiz tidak penting) telah dipasang di atas jambatan di Jalan Tambun, Ipoh hari ini.
Papan iklan terbaru yang dicetak ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) itu difahamkan telah dipasang lewat malam tadi dan menggantikan slogan “Dari Tambun Susur Keluar Ke Utara” yang dipasang pada 6 Nov.
Satu lagi sepanduk dengan imej fiksyen raksasa kaiju terpampang di sebelah frasa "Ingatkan Godzilla, chor" dengan tanda pagar slogan kegemaran Pengerusi PN Perak Ahmad Faizal Azumu "ayor bukan ayaq" juga telah dipasang berhampiran Kompleks Lai Chee di Tambun.
Ungkapan itu seakan mengejek kain rentang setinggi dua tingkat memaparkan imej Anwar di jalan bertentangan, hanya 50m dari papan iklan PN.
Sejak pengumuman Anwar pada 20 Okt bahawa dia akan bertanding di kerusi parlimen Tambun, dia telah dihujani perang papan iklan, dikatakan oleh saingannya Ahmad Faizal itu.
Terdahulu, papan iklan dengan tulisan "Dari Tambun susur keluar ke Utara, 50m" dipercayai dinaikkan oleh pasukan kempen PN.
Kata-kata itu dilihat sebagai respons kepada papan tanda kempen Anwar dengan tulisan "Dari Tambun untuk Malaysia" di Jalan Chemur/Jalan Meru Impian.
Faizal dikatakan telah melancarkan sejumlah serangan yang boleh disifatkan agak kreatif.
Sehari selepas pengumuman Anwar, Faizal "mengalu-alukan" kehadiran Anwar dengan sindiran berkenaan sebutan "air" dalam loghat Perak.
"Di Tambun, kita sebut ayor - dengar betul-betul: ayor, bukan ayaq," katanya.
Sehari kemudian, papan iklan memaparkan Ahmad Faizal dan kata-kata "Ayor bukan Ayaq" dinaikkan dekat Komplek Lai Chee, di Tambun.
Anwar kemudian membalas dengan berkata dia bukan "orang luar" kerana pernah tinggal selama sembilan tahun di Perak.
Dia membangkitkan tempoh tujuh tahun belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kuala Kangsar serta menjalani tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting selama dua tahun.
Pada PRU lalu, Ahmad Faizal menang di kerusi Parlimen itu dengan majoriti 5,320 undi, menewaskan calon BN yang juga penyandang Ahmad Husni Hanadzlah dan calon PAS Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria.
Pada PRU kali ini, selain Ahmad Faizal dan Anwar, turut bertanding adalah Ketua Umno Tambun Aminuddin Md Hanafiah yang mewakili BN dan Abdul Rahim Tahir dari Pejuang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai