Skip to main
Logo Malaysiakini

Dulu pecat Tajuddin, sekarang kata bukan masa rombak Prasarana

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas kemalangan terburuk LRT pada tahun lepas, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memecat Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengerusi Prasarana.

Ini selepas pemimpin Umno berkenaan dihujani kritikan kerana dituduh tidak sensitif ketika mengendalikan sidang akhbar mengenai tragedi itu.

Namun, apabila sebahagian besar laluan Kelana Jaya ditutup selama hampir seminggu wujud desakan sama supaya Zafrul melakukan rombakan dalam Prasarana yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Menjawab gesaan itu, Zafrul berkata sekarang bukan masa yang sesuai untuk berbuat demikian, memandangkan kerajaan kini adalah kerajaan sementara.

"Kita kerajaan sementara sekarang, bukan masa yang sesuai untuk melakukannya," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas majlis kempen di Bestari Jaya hari ini.

Zafrul ialah calon BN bagi kerusi Kuala Selangor.

Masalah dengan sistem kawalan kereta api automatik (ATC) laluan Kelana Jaya - yang menyebabkan tren hilang dari monitor Rapid Rail - menyebabkan penutupan perkhidmatan dari Kelana Jaya ke Ampang Park.

Gangguan besar-besaran itu telah mendorong ahli politik menyeru pertanggungjawaban kepimpinan Prasarana.

Perkhidmatan rel yang sepatutnya digantung selama seminggu, akan disambung semula esok, dengan Prasarana menawarkan perjalanan percuma selama seminggu dan lanjutan untuk penumpang yang menggunakan pas pengangkutan awam My50.