Skip to main
Logo Malaysiakini

Mashitah mahu sambung bakti Ustaz Ibrahim di Kuala Kedah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

WAWANCARA | Walaupun terkejut dan langsung tidak menjangka akan diberikan mandat oleh parti untuk menjadi calon BN di Parlimen Kuala Kedah, Exco Wanita Umno, Mashitah Ibrahim, tidak teragak-agak menyahut dan menggalas tanggungjawab itu.

Sebagai anak kelahiran Alor Setar, walaupun tidak aktif sebagai ahli politik selepas 2014, bekas anggota parlimen Baling itu sama sekali tidak berasa terasing apabila dipilih bertarung di kubu kuat PKR.

Mashitah berkata, masyarakat di sekitar kawasan Kuala Kedah memang mengenali ayahnya yang bekerja sebagai guru agama di beberapa sekolah di situ, selain mengajar di masjid-masjid setempat.

"Saya rasa buat kemunculan semula ni kadang-kadang sebenarnya boleh menjadi faktor 'ummph' balik, macam artislah... dia akan dapat sambutan dan aura balik.

"Saya rasa seronok ditakdirkan saya balik ke Kuala Kedah kerana di sini bukan sesuatu yang asing pada saya.

"Saya dilahirkan di Alor Setar, bapa saya memang banyak berjasa di Kuala Kedah dia seorang guru di sekolah-sekolah dan masjid-masjid sekitar," katanya dalam satu sesi temu bual bersama media di Kuala Kedah, semalam.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menambah, antara pengalaman yang paling seronok dihadapinya ketika berkempen ialah rasa teruja ditunjukkan pengundi di Kuala Kedah.

Misalnya, kata Mashitah, bagaimana mereka berkata: "Haaa... anak Ustaz Ibrahim kan? Ustaz mengajar kami dulu."

Mendengar kata-kata begitu, menurut Mashitah, 58, ia menjadikan kenangan dia bersama arwah bapanya menjelma semula

"Kini sampai masa untuk anak Ustaz Ibrahim ini menyambung balik segala kebaikannya," katanya.

Ada nilai tambah pada calon

Mengenai isu "orang luar" yang dibawa bertanding di Kuala Kedah, Mashitah berkata, ia bukan sesuatu yang menjadi masalah kerana sebelum ini Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra yang merupakan orang Alor Setar diturunkan bertanding di Kuala Kedah.

Bahkan Mashitah berpendapat isu itu hanya ditimbulkan oleh pihak lawan untuk mempengaruhi pengundi.

"Umumnya orang mengetahui sejarah ayah saya di sini dan alhamdulillah saudara-mara terdekat pun masih ada di sini dan mereka memberi sokongan awal kepada saya," katanya.

Bagaimanapun Mashitah dijangka berdepan tugas sukar memandangkan kerusi itu sekian lama menjadi kubu kuat PKR sejak tiga penggal lalu. Penyandang kerusi tersebut, Dr Azman Ismail, memenangi Kuala Kedah dengan majoriti 13,481 undi pada PRU lalu.

Ditanya mengenai cabaran itu Mashitah berkata keadaan Kuala Kedah tidak banyak berbeza kalau dibandingkan antara hari ini dan 15 tahun lalu. Justeru dia berpendapat wakil rakyat sebelum ini gagal memandangkan ramai masyarakat kampung di kawasan itu didakwanya hidup dalam keadaan daif.

"Tempoh 15 tahun bukan jangka masa pendek, namun tiada sebarang pembangunan. Dan hari ini mereka sekali lagi menjanjikan pembangunan.

"Kalau 15 tahun pun sudah gagal, saya rasa rakyat di sini perlu berfikir. Takkan nak memberi tempoh lagi dan harus menambah derita lagi lima tahun.

"Sebab itu saya rasa, ini adalah satu tambah nilai kepada saya, orang baru yang datang. Seorang wanita, calon wanita tunggal di Kuala Kedah ini, yang menjanjikan sifat keibuan dan keyakinan kepada warga Kuala Kedah.

"Saya beri komitmen saya 100 peratus kepada masyarakat Kuala Kedah kerana saya telahpun ada perancangan," katanya.

Tambah Mashitah antara perkara yang perlu diberi perhatian di kawasan itu seperti peluang menjana pendapatan lebih terjamin dan pembelaan nasib marhaen yang didakwanya terabai.

"Sebab itu saya membawa manifesto untuk Kuala Kedah ini saya namakan sebagai 'deklarasi kuala jaminan masa depan yang clear'.

"Ini nampaklah sikit (hala tuju) daripada sekarang yang tak tahu nak pergi mana, banyak aset yang tidak dimaksimumkan dan tidak diurus dengan baik," katanya.

Mashitah juga berpendapat kawasan itu boleh dibangunkan dengan pelbagai projek termasuk menjadi hub pelancongan dan keusahawanan.

"Insya-Allah jika BN diberi mandat kali ini saya sendiri dah berjanji kita akan buka pasar seperti Pasar Siti Khadijah di Kelantan dan terminal feri yang lebih baik.

"Justeru harap masyarakat Kuala Kedah memberi mandat kepada BN sebab kita sudah pelan terancang.

"Kami tak cakap berdalih, yang penting kena pilih saya. Kalih sekarang, insya-Allah Kuala Kedah akan pulih," ujar Mashitah.