Skip to main
Logo Malaysiakini

Tian Chua ingatkan kerusi milik rakyat menerusi seni instalasi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Calon bebas Parlimen Batu Tian Chua menggunakan seni instalasi berupa kerusi dalam kempennya, hari ini.

Kerusi besar berwarna kuning itu - warna yang sama dengan poster kempennya - dinamakan "Kerusi Rakyat" dan ditempatkan di lapan lokasi sekitar kawasan Parlimen Batu.

Ia memaparkan tulisan "Rakyat" dalam empat bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Tamil.

Kerusi tersebut dibina oleh sekumpulan seniman, termasuk aktivis Hishamuddin Rais, bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap Tian Chua selaku ikon era Reformasi.

"Sementara kita semua berebut kerusi, kerusi sebenarnya milik rakyat.

"Dia (Tian Chua) adalah ikon Reformasi. Gambar Tian Chua duduk di depan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada 1998 sebelum ditangkap adalah ikonik, sama seperti gambar Tunku Abdul Rahman melaungkan 'Merdeka' pada 1957," kata Hishammuddin.

Tian Chua merupakan ahli parlimen Batu pada 2008 hingga 2018 namun hilang kelayakan bertanding pada PRU tahun itu ekoran denda RM2,000 yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada PRU lalu, calon bebas P Prabakaran menerima sokongan PKR dan menang di kerusi itu. Dia kemudiannya menyertai PKR.

Dalam wawancara bersama The Vibes pada 7 November lalu, Tian Chua mengakui dia perlu memohon maaf kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim atas keputusannya untuk bertanding bebas di situ.

Pada masa sama, dia mempertahankan keputusannya itu dengan berkata ia bukan bersifat peribadi, tetapi untuk memastikan kesinambungan semangat reformasi di Batu.

"Jika anda semak dengan pengundi, ramai gembira yang saya sekurang-kurangnya beri pilihan kepada mereka untuk memilih bagi mengekalkan suara progresif di kerusi itu," katanya ketika itu.

Batu merupakan kerusi Parlimen dengan paling ramai calon, iaitu seramai 10 orang.

Selain Tian Chua dan Batu, turut bertanding adalah A Kohilan Pillay (BN), Azhar Yahya (PN), Wan Azliana Wan Adnan (GTA), P Naganathan (Warisan), Mohd Zulkifli Abdul Fattah (PRM), dan calon bebas Siti Kasim, Nur Fatiha Syazwana, dan Too Gao Lan.