Skip to main
Logo Malaysiakini

Peluang seimbang PAS, BN di Tumpat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15 | BN dan PAS dilihat mempunyai peluang seimbang untuk merebut kerusi Parlimen Tumpat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Tinjauan Malaysiakini di sekitar Tumpat mendapati rata-rata pengundi bersetuju bahawa Tumpat merupakan kubu kuat PAS, namun tidak menafikan pengaruh Che Abdullah Mat Nawi yang kini bertanding atas tiket BN di kawasan berkenaan.

Pemilik bengkel, Kamaludin Salleh, berkata dia yakin BN mempunyai peluang menang kerana sumbangan yang telah diberikan Che Abdullah kepada penduduk setempat.

"BN mempunyai peluang untuk menang di sini meskipun kerusi ini boleh dikatakan sebagai kubu kuat PAS.

"Harus diingat Che Abdullah juga banyak sumbangan di Tumpat, bahkan dia banyak membantu masyarakat di sini yang kebanyakannya petani.

"Dulu dia menang dengan majoriti undi lebih 17,000," katanya kepada Malaysiakini.

Peniaga, Manaf Ismail pula berpendapat Che Abdullah lebih dikenali berbanding calon PAS, Mumtaz Md Nawi.

"Tidak dinafikan Tumpat adalah kubu kuat PAS, namun Mumtaz kurang dikenali di sini berbanding Che Abdullah.

"Jika pengundi melihat parti, Mumtaz berpeluang untuk menang, tetapi jika melihat kepada calon, Che Abdullah boleh buat kejutan," katanya.

Kerusi Parlimen Tumpat dimenangi Che Abdullah dengan majoriti 17,500 undi menewaskan calon BN, Wan Johani Wan Hussin dan calon PH, Nordin Salleh pada PRU lalu.

Bagaimanapun PAS mengugurkan Che Abdullah sebagai calon dalam PRU kali ini, sebaliknya mempertaruhkan Mumtaz yang juga exco kerajaan negeri bagi merebut kerusi tersebut.

Sementara itu Che Abdullah pula bertanding atas tiket BN bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Parlimen Tumpat menyaksikan pertembungan lima penjuru pada PRU15.

Selain Che Abdullah dan Mumtaz, kerusi itu turut ditandingi Che Mohd Asemari Che Ali dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra); Khairul Azuan Kamarrudin (Warisan) dan Wan Mohd Johari Wan Omar (PH).

‘Penyokong PAS tak berganjak’

Dalam pada itu Suhaimi Ahmad berpendapat PAS mempunyai peluang untuk memenangi kerusi Parlimen Tumpat kerana yakin pengundi PAS tidak akan berganjak.

"Kalau tanya orang PAS dia akan kata PAS lah yang boleh menang di sini. Kalau tanya BN pasti mereka kata ada peluang menang.

"Saya rasa penyokong PAS tidak akan berganjak, mereka akan melihat parti bukannya calon," katanya.

Seorang lagi pengundi Parlimen Tumpat, Jailani Zakaria pula berpandangan Che Abdullah mempunyai pengaruh tersendiri di kawasan itu.

"Che Abdullah bagi saya mempunyai pengaruh tersendiri di sini. Banyak yang ditelah buat di sini untuk pengundi.

"Sedikit sebanyak dia juga telah berjaya menarik penyokong yang mengundinya dulu," katanya kepada Malaysiakini.